Kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang penumpang yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari feri pada pagi Jumaat akan diperluas hingga ke arah utara.

Menurut Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohd Rafizi Ariffin, ia berikutan faktor mangsa yang mungkin dibawa arus berikutan keadaan angin dan keadaan air laut yang pasang.

"Kita akan perluaskan lagi kawasan pencarian, ke arah utara sebab kita jangkakan air pasang, kita khuatir dia telah pergi agak jauh dari kawasan dia jatuh.

"Kita sedang minta bantuan daripada bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan juga lain-lain agensi," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

BACA: Penumpang terjatuh dari Feri Pulau Undan

Bagaimanapun ketika ini identiti mangsa masih belum dikenal pasti.

Menurut Rafizi, mangsa dipercayai terjatuh dari feri yang sedang dalam perjalanan menghala ke arah Butterworth kira-kira jam 9.30 pagi.

Pihak pelabuhan Pulau Pinang turut berusaha menyelamatkan mangsa sejurus selepas kejadian namun gagal.

Seramai 28 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi terdiri daripada pasukan bomba dan penyelamat, Agesi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Pulau Pinang terlibat dalam operasi SAR tesebut.

Operasi SAR digerakkan kira-kira pukul 9.50 pagi tadi sebaik sahaja Anggota Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menerima laporan seorang mangsa dikhuatiri hilang selepas jatuh dari feri Pulau Undan, Pulau Pinang.