Ketika negara berdepan dengan penularan wabak COVID-19 serta kekurangan bekalan penutup mulut dan hidung, ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan melakukan penipuan.

Di Kepala Batas, seorang penuntut institut pengajian tinggi terpaksa menanggung kerugian RM780 akibat diperdaya sindiket penjualan penutup hidung dan mulut yang tidak wujud.

Mangsa yang berusia 23 tahun dikatakan mula mencari produk itu secara dalam talian termasuk penjual di sebuah laman Facebook selepas gagal mendapatkannya di kedai-kedai berhampiran, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa dikatakan membuat pesanan sebanyak 30 kotak mengandungi 1,500 penutup hidung dan mulut dengan harga RM780 untuk kegunaan sendiri dan rakan-rakan.

“Mangsa kemudiannya telah membuat satu transaksi pindahan wang berjumlah RM780 ke akaun yang diberikan oleh suspek. Saspek kemudian memberitahu mangsa bahawa produk itu akan dihantar dalam tempoh tiga hari.

"Mangsa hanya sedar ditipu setelah melihat komen pengguna Facebook lain yang pernah berurusan dengan suspek, mendakwa penutup hidung dan mulut yang dipesan daripada suspek tidak pernah diterima dan suspek juga gagal dihubungi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis setelah mendapati dia juga sudah ditipu sindiket terbabit.

Beliau berkata, siasatan awal pihak polis mendapati sindiket tersebut didalangi oleh warga tempatan yang mengambil kesempatan atas keperluan orang ramai.

Noorzainy berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehingga kini, katanya sebanyak tiga kertas siasatan telah dibuka berhubung penipuan pembelian penutup hidung dan mulut yang melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM8,890.

Beliau menasihatkan orang awam agar sentiasa berwaspada ketika membuat pembelian dalam talian dan membuat semakan melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu.