Penurunan kuasa kepada kerajaan negeri Sarawak ataupun jabatan-jabatan kerajaan negeri oleh Kerajaan Persekutuan disokong penuh dalam memastikan kerajaan negeri mempunyai kuasa mutlak untuk menetapkan sesuatu perkara dengan segera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata sesuatu kuasa itu memang telah termaktub dalam perlembagaan yang melibatkan jabatan-jabatan kerajaan yang sedia ada di mana sesuatu keputusan itu perlu diputuskan oleh jabatan induk dan ianya akan menyebabkan proses di peringkat negeri menjadi lambat.

"Saya menyokong apa yang dikatakan YAB Ketua Menteri dan juga YAB Perdana Menteri yang bersetuju supaya diadakan penurunan kuasa ini daripada kerajaan pusat kepada kerajaan negeri... sebab ianya boleh membantu kerajaan negeri menjalankan tugas mereka secara cepat untuk meluluskan sesuatu," katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis perasmian program hari terbuka National Blue Ocean Strategy (NBOS) My Kampung My Future di Kampung Gedong di sini, Jumaat.

Nancy berkata, jika ada pun kuasa di kerajaan pusat, mungkin ia hanya melibatkan kuasa penyaluran peruntukan di mana tugas pihak persekutuan akan dipermudahkan setelah diuruskan oleh jabatan-jabatan negeri seperti kuasa dalam penentuan peruntukan kebajikan kepada golongan yang memerlukan.

"Kita ada juga agensi negeri yang menguruskan hal-hal kebajikan... biarlah Persekutuan menyerahkan tugasan itu kepada kebajikan negeri supaya ada standard dari segi jumlah kebajikan yang diberikan kepada pelanggannya," katanya.

Cadangan kuasa mutlak kerajaan negeri Sarawak disokong

Selain itu, beliau berkata banyak lagi penurunan kuasa yang hendak dilihat diberikan kepada Sarawak di mana buat masa ini perbincangan atau rundingan antara Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan juga Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Mohamad Morshidi Abdul Ghani masih berjalan bagi mengelakkan pertindihan kuasa.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak sudah memulakan perbincangan untuk memberi lebih 'pemerkasaan' kepada beberapa jabatan kerajaan negeri dengan menurunkan kuasa jabatan-jabatan tertentu kerajaan pusat.

Katanya, banyak pertindihan kuasa boleh dielak dan banyak sumber yang boleh diselamatkan kalau kuasa antara jabatan-jabatan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak boleh diperkemaskan.