Tutup

Penutupan Hello Kitty, Thomas Town beri sedikit kesan kepada Tahun Melawat Johor 2020 - Exco

Penutupan Hello Kitty, Thomas Town beri sedikit kesan kepada Tahun Melawat Johor 2020 - Exco
Taman Tema Sanrio Hello Kitty Town dan Thomas Town bakal beroperasi sehingga 31 Dis ini sahaja. - Instagram@sanriohellokittytown
PONTIAN: Penutupan Taman Tema Sanrio Hello Kitty Town dan Thomas Town, di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, awal tahun depan dilihat memberi sedikit kesan kepada Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2020, namun, negeri ini masih mempunyai pelbagai destinasi serta produk pelancongan yang boleh diketengahkan kepada pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Liow Cai Tung berkata kerajaan negeri menerusi Tourism Johor kini giat mempromosikan 10 daerah di negeri ini dengan pelbagai sejarah dan keunikan masing-masing kepada pelancong domestik mahu pun antarabangsa.
"Sudah tentu bagi saya, penutupan kedua-dua taman tema itu mengganggu sedikit bilangan pelancong ke negeri ini memandangkan taman tema juga merupakan salah satu kawasan tarikan pelancongan.

"Bagaimanapun, ini (penutupan) adalah keputusan pihak swasta dan kita (kerajaan negeri) sememangnya menghormati keputusan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program 'Roadshow Mesra, Aktiviti, Riadah, Informatif (MARI) Daerah Pontian Bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara' di Ayer Baloi, dekat sini hari ini.
Liow berkata selain taman tema, Johor mempunyai pelbagai tarikan pelancongan lain merangkumi kepulauan, perubatan, agro serta eko pelancongan.

"Dalam 20 destinasi dan 20 festival pelancongan yang ditumpukan untuk menarik pelancong pada kempen Tahun Melawat Johor 2020, turut merangkumi ladang nanas dan sawah padi. Ini salah satu produk pelancongan yang diyakini mampu menarik pelancong domestik mahupun antarabangsa," katanya.

Semalam, Liow dilaporkan berkata Taman Tema Sanrio Hello Kitty Town dan Thomas Town yang beroperasi sejak tujuh tahun lepas itu hanya beroperasi sehingga 31 Dis ini dan difahamkan, penutupan itu adalah disebabkan kurang sambutan sejak beberapa tahun lepas.

Pengumuman penutupan taman tema berkenaan turut dikongsikan Sanrio Hello Kitty Town dan Thomas Town - Puteri Harbour menerusi laman Facebook masing-masing, pada 2 Okt lepas.

Sementara itu, Liow berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, bulan depan, sudah tentunya sedikit sebanyak memberi sumbangan kepada peningkatan sektor pelancongan di sekitar Pontian.

"Setiap kali PRK, ia memang akan memberi sumbangan kepada sektor pelancongan kerana pemimpin, penduduk luar atau pengundi yang berada di luar akan balik mengundi.

"Ini akan meningkatkan ekonomi dan saya kira dari segi ini, akan bantu meningkatkan permintaan terhadap makanan tempatan, inap desa, hotel, motel dan sebagainya," katanya.

Mengikut rekod, setakat Januari lepas, Pontian memiliki empat inap desa di sekitar kawasan itu yang diiktiraf Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, katanya.

-- BERNAMA


Tag: hello kitty, thomas town, johor, pelancongan, puteri harbour, iskandar puteri, tahun melawat malaysia, tahun melawat johor, exco johor, liow cai tung



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.