Kerajaan negeri Perak yakin jumlah pelaburan ke negeri ini tidak akan terjejas akibat penutupan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS), pada 28 Januari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata pihaknya sedang melaksanakan beberapa kaedah termasuk menarik pelabur asing dan tempatan dalam membantu memulakan semula pengoperasian MAPS.

Setakat ini, kerajaan negeri telah berbincang dengan sebuah syarikat daripada China dan sebuah syarikat tempatan, mereka menyatakan minat untuk melabur terhadap taman tema itu yang mula dibuka pada Jun, 2017 dengan kos RM520 juta itu, katanya.

"Penutupan MAPS tidak menjejaskan saham atau iklim pelaburan di Perak namun ia menyebabkan kita perlu cari jalan keluar lebih mantap dan menguntungkan kerajaan.

"Ia tidak menjejaskan pelaburan malah ada peluang pelabur yang berminat selepas kerajaan negeri memberi cadangan kepada mereka bagaimanapun kajian perlu dilakukan terlebih dahulu, contohnya kaedah-kaedah yang mahu dilakukan oleh syarikat berkenaan perlu mengikut ketetapan kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kira-kira dua jam ke sebuah kilang pembuatan pendawaian abah-abah (automotive wiring harness) untuk kereta-kereta mewah, Dem Draexlmaier Automative System (M) Sdn Bhd, di sini hari ini.

Mengenai lawatan ke kilang tersebut, Mohammad Nizar berkata kerajaan negeri membantu mempercepatkan proses pembinaan sebuah lagi kilang berhampiran dengan kilang sedia ada bagi mengembangkan lagi industri automotif di Perak.

"Syarikat berpangkalan di Jerman ini telah beroperasi selama 35 tahun di negeri ini. Kami telah mendapat kerjasama daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Perak dan agensi kerajaan lain untuk mempercepatkan proses tersebut.

"Selain mengembangkan lagi industri automotif, pembinaan kilang itu akan membuka peluang pekerjaan kepada 500 orang sepanjang lima tahun selepas pembukaannya," katanya sambil menambah pembinaan kilang baharu bernilai RM54 juta itu dijangka siap menjelang bulan Oktober depan, katanya.

-- BERNAMA