Penyakit tidak berjangkit di Malaysia pada tahap membimbangkan - Dr Dzulkefly

Penyakit tidak berjangkit di Malaysia pada tahap membimbangkan - Dr Dzulkefly
Peratus dewasa yang mengidap hipertensi pula kekal di sekitar 30 peratus dalam tempoh tersebut (1996-2015). - Gambar hiasan
PORT DICKSON: Penyakit Tidak Berjangkit atau lebih dikenali sebagai NCD di Malaysia berada pada tahap membimbangkan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata berdasarkan statistik Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan yang dijalankan Kementerian Kesihatan setiap lima tahun, peratus dewasa yang mengalami diabetes meningkat dari 8.3 peratus pada tahun 1996 kepada 17.5 peratus pada 2015.

Katanya peratus dewasa yang mengidap hipertensi pula kekal di sekitar 30 peratus dalam tempoh tersebut (1996-2015).

"Merokok dan obesiti merupakan antara faktor utama bagi kedua-dua penyakit ini.
"Justeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusaha untuk memerangi peningkatan jumlah NCD di kalangan masyarakat antaranya menggabungkan program-program pengupayaan komuniti dari aspek kesihatan yang dilaksanakan KKM seperti Komuniti Sihat Pembina Negara dan Komunikasi untuk Kesan Tingkah Behaviourial Impact termasuk program PeKa: B40 yang menjalankan saringan-saringan awal kepada penyakit-penyakit NCD," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Port Dickson di sini, hari ini.

Turut hadir, Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan.

Tambahnya punca kematian rakyat negara ini sebelum 'tempoh pramatang' (purata 75 tahun) juga disebabkan NCD.

Justeru Dr Dzulkefly menyarankan agar orang ramai dapat membudayakan penjagaan kesihatan diri melalui pelaksanaan saringan kesihatan asas secara sukarela selain mengamalkan kehidupan yang sihat dan mengelakkan tabiat merokok.

Program Kampungku Sihat merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat bagi mencegah peningkatan penyakit tidak berjangkit atau NCD.

Inisiatif ini dilakukan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai berkaitan faktor risiko bahaya NCD yang masih rendah dan membimbangkan.

--BERNAMA

Tag: penyakit tidak berjangkit, NCD, dzulkefly ahmad, kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan, hipertensi, diabetes, KKM


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.