Penyampai berita dan Editor Kanan Astro AWANI Cynthia Ng disenarai pendek sebagai calon anugerah ‘Women of the Future Awards’ Asia Tenggara 2020.

Ng tersenarai dalam kategori Media dan Komunikasi bersama tiga calon lain, Sotheavy At (Kemboja), Angela Lagunzad (Filipina) dan Yee Mon Ooo (Myanmar).

Anugerah Women of the Future Awards diasaskan di United Kingdom pada 2006. Ia diangkat ke peringkat rantau Asia Tenggara sejak 2018 untuk memberi pengiktirafan kepada wanita dari pelbagai bidang sekitar rantau ASEAN.

“Saya teruja disenarai pendek untuk anugerah berprestij ini bersama calon-calon lain yang hebat. Anugerah ini merupakan platform yang amat baik untuk mengetengahkan potensi wanita di Asia Tenggara kepada dunia,” kata Ng.

Ng merupakan hos dan penerbit rancangan AWANI Review. Beliau pernah menemu ramah personaliti terkemuka seperti pengasas bersama Alibaba, Jack Ma; bekas pengarah urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde dan pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes. Ng juga mengendalikan temubual khas bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, pengasas anugerah Women of the Future Awards, Pinky Lilani menyatakan rasa kagum dengan kejayaan dan bakat yang diketengahkan calon-calon tahun ini.

“Meskipun mereka yang tercalon memiliki latar belakang yang berbeza, mereka semuanya berusaha keras untuk memberikan hak upaya dan membuka jalan ke hadapan, tidak gentar untuk menghapuskan stereotaip, mengatasi keterbatasan dan memacu perubahan positif melalui keberanian, kerja keras dan iltizam,” kata Lilani dalam satu kenyataan.

Anugerah Women of the Future Awards Asia Tenggara 2020 menampilkan sepuluh kategori.

Antara warga Malaysia lain yang tersenarai pendek dalam anugerah tersebut adalah Lisa Surihani, Nicole Lai, Annice Lyn dan Ernie Zakri (Kategori Kesenian dan Kebudayaan); Jess Yap (Kategori Bisnes); Heidy Quah (Kategori Perkhidmatan Awam dan Komuniti); Nellie Tan (Kategori Mentor) dan Bee Lynn Chew, Wan Yong Ho dan Dr Siu Yee New (Kategori Sains, Teknologi dan Digital).

Pemenang akan diumumkan pada malam anugerah yang akan berlangsung pada Mac 18, 2020 di Singapura.