Tutup

Penyanyi Aliff Aziz didakwa di mahkamah Singapura

Penyanyi Aliff Aziz didakwa di mahkamah Singapura
Perbicaraan kes Aliff Aziz akan didengar semula pada 1 Oktober di mahkamah di Singapura. - Gambar Instagram ALIFF AZIZ
SINGAPURA: Penyanyi dan pelakon terkenal, Aliff Aziz didakwa di mahkamah Singapura pada Selasa atas tuduhan mencuri.

Portal Berita Harian Singapura melaporkan, berdasarkan kertas pertuduhan, artis kontroversi itu didakwa mencuri wang sebanyak S$300 (RM909) dan Rupiah 1 juta (RM296) pelakon Indonesia, Raja Yunika Perdhana Putri.

Aliff didakwa melakukan perkara itu di sebuah bilik di Studio M Hotel, 3 Nanson Road, Singapura antara pukul 12 tengah malam dengan 3 pagi pada 7 Jun lalu.

Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz turut menghadapi tuduhan mencuri sekotak rokok dan pemetik api bernilai S$15.60 (RM47.29) milik Gurwinder Singh di kafe Starbucks di Plaza Singapura.
Kejadian kedua itu didakwa dilakukan Aliff, 28, pada 6 Ogos lalu sekitar pukul 4.45 pagi.

Artis itu bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin S$5,000 (RM15,000).

Perbicaraan akan disambung pada 1 Oktober ini.

Aliff yang pernah menempa populariti menerusi lagu Sayang Sayang mencetus beberapa siri kontroversi sejak beberapa tahun lalu.
Antara berita sensasi yang pernah dikaitkan dengannya ialah kemelut rumah tangganya dengan penyanyi dan pelakon Bella Astilah.

Aliff didakwa curang terhadap isterinya dan dikatakan menjalin hubungan dengan beberapa pelakon wanita.

Skandal yang menyelubungi Aliff mendapat liputan meluas media Malaysia dan Singapura.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016, namun perkahwinan mereka tidak bertahan lama apabila pasangan itu bercerai pada 16 Mei lalu.

Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Muhammad Ayden, yang kini berusia dua tahun.

BACA: 
Cacah tatu di dada dengan nama Bella? Ini jawapan Aliff Aziz...

B
ACA:
Aliff Aziz buat hal lagi? Foto 'curang' mirip suami Bella Astillah tersebar

Tag: Aliff Aziz, Aliff Aziz didakwa, mahkamah Singapura, tuduhan mencuri, Bella Astilah, kontroversi, Sayang Sayang, penyanyi, pelakon


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.