Portal sebenarnya.my, yang dibangunkan bagi mengekang penularan berita palsu dalam talian menerima jumlah layaran mencecah lebih 15 juta sejak dilancarkan pada Mac lalu.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Dr. Mazlan Ismail berkata, jumlah itu menunjukkan sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai dengan purata kira-kira 70 ribu layaran dicatatkan setiap hari.

“Kita hendak negara kita aman makmur, tapi bila datang berita palsu, ia akan merosak ekosistem yang ada dalam negara kita, sebab itu kita kata barangsiapa yang menyebar berita palsu sesungguhnya dia ialah musuh negara sebab ia cuba merosak negara,” katanya.

sebenarnya.my dilancarkan pada 14 Mac lalu bagi membolehkan masyarakat menyemak kesahihan maklumat yang diterima sebelum disebarkan.

Langkah itu diambil berikutan penularan berita palsu yang semakin membimbangkan selaras dengan peningkatan jumlah pengguna internet khususnya media sosial.

Selain menyalur berita yang diragui untuk pengesahan, skop portal ini turut diperluaskan dengan tambahan kategori “waspada” dan “penjelasan” yang bertujuan memberi peringatan dan penjelasan terperinci kepada orang ramai.