announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Penyelenggara lif maut tersepit

Penyelenggara lif maut tersepit
Seorang pekerja penyelenggaraan lif warga Indonesia maut selepas tersepit ketika melakukan kerja-kerja membaik pulih lif di hospital.
JOHOR BAHRU: Seorang pekerja penyelenggaraan lif warga Indonesia maut selepas tersepit ketika melakukan kerja-kerja membaik pulih lif di sebuah hospital swasta di Larkin, di sini petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin K. Karupannan berkata kejadian berlaku ketika mangsa yang dikenali sebagai Muntholib, 39, sedang melakukan kerja menukar lif lama kepada yang baharu bersama tiga rakannya.

"Bagaimanapun, dia dipercayai terpijak sesuatu atau tergelincir menyebabkannya terjatuh dan tersepit di bahagian pemberat lif di antara tingkat satu dan tingkat dua bangunan hospital berkenaan.

"Rakan mangsa yang lain yang berada di bahagian bawah ketika itu turut terdengar bunyi seakan objek terjatuh sebelum menyedari mangsa tersangkut di bahagian pemberat lif terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira 2.50 petang dan menghantar sebuah jentera Fire Rescue Tender, ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dan 10 anggota ke tempat kejadian.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat, katanya.

-- BERNAMA


Tag: penyelenggaraan lif, warga Indonesia, tersepit, Larkin, hospital swasta, Muntholib



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.