Mahkamah Tinggi London tidak memerintahkan supaya Pas membayar sebarang kos membabitkan kes penyelesaian luar mahkamah antara parti itu dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Demikian ditegaskan Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan bagi menjawab dakwaan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa.

Anwar mencabar kepimpinan Pas mendedahkan kepada umum bayaran yang dibuat kepada Clare untuk bersetuju menyelesaikan kes samannya di luar mahkamah awal bulan ini.

"Dengan merujuk kepada Perintah Persetujuan (Consent Order) yang direkodkan, ia menyatakan tiga perkara.

"Pertama, pihak yang menuntut tidak meneruskan tuntutannya; kedua, pihak defendan tidak meneruskan tuntutan balasnya; dan ketiga, tiada perintah mengenai kos-kos," kata Takiyuddin dalam satu kenyataan malam tadi.

Oleh itu, katanya, berdasarkan kepada perintah tersebut, selain daripada kedua-dua pihak bersetuju tidak meneruskan tuntutan dan tuntutan balas masing-masing, mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos kepada mana-mana pihak.

"Dengan kata lain, pihak yang menuntut iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tidak membayar apa-apa bayaran ataupun kos kepada pihak defendan untuk penyelesaian kes ini di luar mahkamah," jelasnya.

BACA: Pas bayar lebih RM1 juta kepada editor Sarawak Report?

Takiyuddin juga menyifatkan kenyataan yang dibuat Anwar adalah mengelirukan dan cubaan mengalih pandangan rakyat.

"Pas menganggap kenyataan presiden PKR tersebut adalah langkah terdesak beliau bagi mengalihkan pandangan rakyat dari isu ‘krisis keyakinan’ parti-parti dalam Pakatan Harapan terhadap pengerusi mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Perdana Menteri Malaysia," tambahnya.

BACA: Penarikan kes saman Abdul Hadi-Brown atas nasihat peguam

Anwar berkata semalam, pendedahan kepada umum akan dapat mengelakkan rakyat daripada terus terkeliru dengan kenyataan-kenyataan bercanggah selepas Abdul Hadi menarik balik saman itu.

Pada 1 Februari lalu, Abdul Hadi memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dalam kes saman beliau terhadap Clare melalui Perintah Persetujuan, di Mahkamah Tinggi London.