Tiga individu termasuk dua pegawai kanan Radio Televisyen Malaysia (RTM) ditahan reman pada 7 Oktober lalu berhubung dakwaan penyelewengan dana Lembaga Zakat untuk satu penerbitan program.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berkata tempoh reman untuk dua pegawai itu telah dilanjutkan selama lima hari bermula Khamis lepas, manakala seorang lagi tidak disambung.

“Setakat ini, 11 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan. Nilai penyelewengan mencecah puluhan ribu ringgit.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Sambutan Ulang Tahun FAMA ke-54, dan Kempen Anti Rasuah Sempena Ulang Tahun SPRM ke-52, di Pasar Tani Shah Alam, hari ini.

Difahamkan individu yang tidak dilanjutkan reman itu ialah suami kepada salah seorang pegawai RTM berkenaan.

Menurut sumber, dana yang diseleweng merupakan peruntukan Lembaga Zakat bagi penerbitan program di RTM, namun sebaliknya ia dimasukkan ke dalam akaun peribadi individu yang ada kaitan dengan salah seorang pegawai kanan agensi penyiaran itu.