Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa berkaitan penyelewengan kewangan dan pengagihan kontrak latihan bernilai RM4 juta, pada Selasa.

Menurut sumber, suspek pertama yang juga pengurus kanan berusia 53 tahun ditahan pada pukul 6.20 petang di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, manakala suspek kedua yang berusia 45 tahun ditahan pada pukul 5.40 petang di SPRM Kelantan.

Kedua-dua suspek ditahan selepas hadir memberi keterangan.

Pada Selasa, SPRM menyerbu 10 lokasi termasuk pejabat anak syarikat Felcra Berhad (Felcra) di Setapak berhubung salah guna kuasa berkaitan penyelewengan kewangan dan pengagihan kontrak latihan bernilai RM4 juta.

Serbuan dijalankan serentak di sekitar Pantai Timur, Lembah Klang dan Perak.

SPRM juga turut mengambil sejumlah dokumen yang berkaitan bagi membantu siasatan.

Tambah sumber lagi, suspek yang berusia 53 tahun dipercayai memanipulasi sebut harga selain melantik syarikat-syarikat luar yang dimiliki oleh anggota keluarga termasuk anak menantu dan kenalannya untuk membekalkan tenaga pengajar, pakar latihan serta kursus yang dikendalikan oleh anak syarikat itu.

“Salah guna kuasa itu dikesan bermula sejak 2014 dan berlarutan sehingga kini membabitkan nilai projek berjumlah mencecah kira-kira RM4 juta.

"SPRM percaya masih ada beberapa lagi syarikat luar yang terbabit serta pengurus kanan itu juga disyaki menerima habuan pada setiap kontrak yang diperoleh," menurut sumber.

Tambahnya lagi, seramai 15 individu juga telah dibawa ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan SPRM Kelantan untuk ditemu bual berhubung isu berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

"Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putajaya pagi ini bagi tujuan permohonan reman.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009," ujarnya.