Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (JFK) bakal meneliti isu penyertaan wanita Islam dalam sukan renang dan gimnastik untuk dikeluarkan fatwa dan diwartakan sebagaimana larangan penyertaan orang Islam dalam pertandingan ratu cantik.

Menurut laporan sebuah akhbar tempatan yang mengungkap kata-kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad, perkara ini bakal dilakukan untuk mengelak masalah dwi standard.

“Kita akan bawa perkara ini kepada bahagian penyelidikan dahulu untuk mereka perincikan sebelum difatwakan,” kata Hassan kepada akhbar tersebut.

Di Malaysia, wujud sebuah fatwa yang diwartakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 8 Februari 1996 di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 yang melarang orang Islam daripada menyertai pertandingan ratu cantik.

Berikutan itu, empat finalis Islam Miss Malaysia World - Sara Amelia Bernard, Wafa Johanna De Korte, Miera Sheikh dan Kathrina Ridzuan - digugurkan daripada pertandingan itu baru-baru ini selepas menerima kritikan dari Mufti Wilayah Persekutuan Wan Zahidi Wan Teh bahawa penyertaan mereka dianggap "berdosa".

Ekoran itu, ada di antara mereka yang digugurkan itu mempersoalkan mengapa terdapat isu pilih bulu, kerana pertandingan renang dan gimnastik tidak pula difatwakan sebagai haram.

Pada 23 Julai, bahagian penguatkuasaan Jawi telah membuka kertas siasatan berhubung keempat-empat peserta tersebut mengikut Seksyen 7, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, kerana menghina agama Islam.

Di bawah Seksyen 7, Akta berkenaan, sesiapa yang didapati melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Walaubagaimanapun, tiga daripada empat peserta itu telah membuat permohonan maaf.