Kerajaan negeri Perak belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk menaikkan tarif air atau tidak.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Perak juga bukan antara enam negeri yang telah bersetuju dengan rancangan untuk menaikkan tarif itu.

Menurutnya, kerajaan negeri akan mengambil kira pelbagai perkara sebelum membuat keputusan itu.

“Kita belum membuat keputusan berkenaan perkara tersebut. Namun, hari ini kita ada berbincang tentang kaedah-kaedah, jika ada keperluan untuk menaikkan, tetapi masih tiada keputusan dibuat.

“Kita memikirkan bagaimana untuk tidak membebankan rakyat. Itu yang lebih penting.

"Tetapi dalam masa yang sama, kelestarian syarikat itu juga, ataupun untuk kita menjalankan operasi bekalan air, ini mesti di tahap yang terbaik dan untuk jangka masa yang panjang,” katanya.

BACA: Kenaikan tarif air tingkat kualiti penyampaian kepada rakyat - Xavier

Beliau ditemui selepas mengiringi pegawai pejabat Menteri Besar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kemungkinan wujud penyelewengan berhubung projek taman tema di sini, hari ini.

Pada Rabu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar memberitahu Dewan Rakyat, perundingan untuk menaikkan tarif air giat dijalankan kerana kadar itu tidak pernah disemak dalam tempoh 20 tahun.

Menurutnya, enam negeri telah bersetuju menaikkan kadar itu, selaras dengan usaha kerajaan menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air negara.

Persetujuan itu dicapai hasil rundingan kementerian bersama kerajaan negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang masih berjalan ketika ini, tambahnya, tanpa menamakan enam negeri tersebut.