Jemaah wanita dibenarkan menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di surau dan masjid di seluruh negeri Perak pada 31 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari bagaimanapun berkata mereka hendaklah hadir bersama mahram.

Menurutnya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah setelah menimbangkan sembah nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan setelah merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MMK) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), membenarkan solat sunat Aidiladha secara berjemaah di seluruh masjid dan surau di Perak.

“Bilangan jemaah yang dibenarkan mendirikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di masjid dan surau tersebut ialah berasaskan had kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan mengambil kira Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menetapkan jarak satu meter di antara ahli jemaah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, memandangkan sambutan Aidiladha tahun ini jatuh pada hari Jumaat dan selaras dengan ketetapan pemerintah, solat Jumaat wajib dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha.

“Kehadiran menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha dan solat Jumaat pada masa ini hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia.

“Identiti para jemaah yang datang untuk bersolat hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat,” ujarnya.

Shahrul Azam berkata ibadah korban pula hanya boleh dilaksanakan di dalam kawasan surau dan masjid, berasaskan permohonan dan kelulusan pihak berkuasa agama negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta tertakluk kepada pematuhan garis panduan.

Dalam masa sama, katanya, kehadiran semasa melaksanakan ibadah korban, pada masa ini juga hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia.

“Identiti para peserta dan petugas yang melaksanakan ibadah korban hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang penyembelihan dan pengagihan,” tambahnya.

Menurutnya, penggunaan masjid dan surau untuk solat sunat Aidiladha, solat Jumaat serta penggunaan kawasan halamannya untuk aktiviti ibadah korban, hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh MMK dan KKM.

Katanya, Jabatan Agama Islam Perak akan mengeluarkan garis panduan mengenai perkara itu kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid dan surau di seluruh negeri.

“Arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga dikeluarkan apa-apa arahan baharu daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak,” ujarnya