Kerajaan negeri akan berganding bahu dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengumpul maklumat dan data mengenai kes keracunan makanan yang berlaku di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak Dr Abdul Aziz Bari berkata, pengumpulan data itu bagi memudahkan proses pemantauan berhubung kes berkenaan di semua sekolah harian dan berasrama.

"Kita akan bekerjasama dengan pihak yang terbabit bagi melihat kekerapan atau sejauh mana seriusnya kejadian (keracunan makanan) berlaku dengan mengambil kira langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil.

"Saya yakin pihak (pengendali kantin) telah mematuhi SOP (prosedur operasi standard) (kebersihan makanan) yang ditetapkan, cuma dengan adanya statistik nanti, mudah bagi kita mengemukakan (data) kepada Kementerian Pendidikan sebagai agensi yang bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Cator Avenue, di sini, hari ini.

Hadir sama, Guru Besar SK Cator Avenue, Ahmad Zahudi Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kinta Utara, Hasni Hashim.

Pada Isnin, lapan murid sekolah itu mengalami keracunan makanan iaitu sakit perut dan muntah selepas dipercayai minum pagi di kantin sekolah.

Bagaimanapun, kesemua mereka dibenarkan pulang setelah menerima rawatan pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Mengulas insiden keracunan makanan di sekolah itu, Abdul Aziz berkata, kes itu agak terpencil dan tidak begitu serius memandangkan semua murid yang terlibat sudah pulih sepenuhnya.

Tambahnya, pengendali kantin yang terlibat merupakan orang yang berpengalaman dalam bidang penyediaan makanan.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Hasni berkata sejak Januari sehingga kini, sebanyak tiga kes keracunan makanan dilaporkan berlaku di tiga sekolah di daerah ini.

Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tanah Hitam di Chemor, SK Manjoi di sini dan SK Cator Avenue.

"Sebanyak 166 buah sekolah terdapat di daerah Kinta Utara dan hanya tiga kes keracunan makanan yang dilaporkan setakat ini dan saya fikir ia amat kecil.

"Langkah-langkah pengawalan seperti penarafan kendiri kantin sentiasa dilakukan oleh pihak sekolah dari segi aspek penyediaan makanan dan tahap kebersihan pengendali kantin.

"Sekiranya tahap kebersihan yang diperolehi pengendali kantin itu rendah, pihak sekolah dan Jabatan Kesihatan akan cuba membantu untuk mempertingkatkan dari segi tahap kebersihan dan penyediaan makanan," katanya.