Perak menjadi negeri pertama yang memperkenalkan panggung wayang pandu masuk atau drive in cinema.

Pawagam itu yang dikenali Casuarina Sini-Drive terletak di Bandar Meru Raya, Ipoh dan mampu memuatkan sehingga 70 buah kenderaan pada satu-satu masa.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pengenalan pawagam itu dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan di Perak yang terkesan teruk ekoran pandemik COVID-19.

“Waktu kita kanak-kanak dulu, saya biasa membesar dengan wayang-wayang pacak oleh Jabatan Penerangan, hari ni suasana sebegitu dapat kita kembalikan dan usaha yang dibuat oleh Perak Corp Berhad ini.

“Alhamdulillah, saya mengajak seluruh rakyat di negeri Perak ataupun daripada luar untuk sama-sama kita datang ke Bandaraya Ipoh ini sambil menikmati keindahan kita boleh juga luangkan masa untuk sama-sama menonton mengeratkan silaturrahim sesama keluarga, menonton wayang di dalam kereta dan ini tentunya satu pengalaman baru yang akan tentu sekali menyeronokkan,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Casuarina Sini-Drive di Bandar Meru Raya, Ipoh pada Jumaat malam.

Hadir sama Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak dan Ketua Pegawai Eksekutif Perak Corporation Berhad, Zainal Iskandar Ismail.

Casuarina Sini-Drive beroperasi setiap malam, kecuali Isnin dan menawarkan pakej antara RM36 hingga RM42.

Ahmad Faizal berkata, pihak penganjur juga akan membuat pemantauan di kawasan berkenaan bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Pada 9 Julai lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan permohonan aktiviti pawagam pandu masuk dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.