Kerajaan Perak sedia bekerjasama dengan aktivis alam sekitar dalam usaha memastikan kelestarian alam sekitar khususnya di kawasan hutan terus terpelihara.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata bagi mencapai matlamat itu, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan lebih terperinci bersama Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dalam tempoh terdekat.

"Menjaga alam sekitar bukan hanya terletak di bawah tanggungjawab NGO (pertubuhan bukan kerajaan) semata-mata, tetapi ia tanggungjawab semua pihak termasuk kerajaan negeri.

"Maka, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memastikan dalam waktu kita hendak meningkatkan ekonomi negeri dengan melaksanakan penanaman semula hutan, kita juga mahu memulihara alam semula jadi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jasamu Dikenang Siri 1 Tahun 2019 di sini pada Khamis.

Pada majlis itu, 336 pesara yang pernah berkhidmat di pelbagai jabatan dan agensi, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri menerima insentif berjumlah RM4,000 setiap seorang dalam bentuk Sijil Amanah Saham Bumiputera, serta Sijil Simpanan Premium bagi penerima bukan Bumiputera yang disumbangkan kerajaan negeri.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan KUASA semalam, yang melahirkan rasa bimbang terhadap projek pembangunan ladang hutan seluas 400 hektar di Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta Daerah Hutan Kinta Manjung.

Presiden KUASA, Hafizudin Nasarudin mendakwa projek itu akan membawa kepada beberapa masalah termasuk kualiti air yang buruk di sungai berhampiran seterusnya menjejaskan ekosistem di sekitar kawasan tersebut.

"Kami bimbang lokasi (pembangunan ladang hutan) mungkin bertindih dengan kawasan sensitif seperti kawasan kampung, cerun, kediaman hidupan liar dan sungai," kata beliau.