Kerajaan Negeri Perak meneruskan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah sebulan gaji atau minima RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri dan Orang Besar Jajahan (OBJ).

Bayaran kepada lebih 10,000 penjawat awam di Perak itu akan dibuat sepenuhnya sebelum akhir tahun 2019.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,000 turut dipanjangkan kepada guru sandaran tidak terlatih, pekerja sambilan harian, guru Tadika Islam, JAIPK, imam, bilal, siak, ketua kampung serta tok batin.

“Menghargai komitmen semua pihak dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi yang sentiasa diberikan oleh penjawat awam negeri, dengan ini kerajaan negeri mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri dan Orang Besar Jajahan (OBJ), yang akan dibayar sepenuhnya sebelum berakhir tahun 2019,” katanya sewaktu membentangkan Belanjawan Perak 2020 di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini pada Jumaat.

Menurutnya, dengan tema Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif, empat fokus telah ditetapkan bagi memastikan segala perancangan dapat terlaksana ke arah mencapai satu matlamat yang sama dan bersepadu bagi memenuhi aspirasi dan harapan rakyat.

Belanjawan Perak 2020 mengunjurkan defisit RM103 juta, lebih rendah berbanding defisit Belanjawan 2019 berjumlah RM109 juta.

Ia berdasarkan unjuran perbelanjaan sebanyak RM1.201 bilion berbanding hasil dan terimaan pembangunan sebanyak RM1.098 bilion.