Kerajaan Negeri Perak tetap akan mengutamakan keperluan pembangunan pertanian terutama melibatkan kawasan sawah padi dengan mengekalkan dan menambah keluasan sedia ada.

Exco Kemudahan Awam, Infrastrutruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, langkah itu bagi menjamin pengeluaran makanan negara tanpa perlu terlalu bergantung kepada bekalan import.

"Padi ini merupakan makanan keselamatan untuk rakyat, jadi dari aspek pengeluaran dan keluasan tanamannya perlu dijaga.

"Pendirian kerajaan jelas untuk tetap menjaga tanaman padi ini supaya bekalan kepada rakyat berterusan," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Paul Yong Choo Kiong, bahawa Kerajaan Negeri Perak sedia meluluskan penukaran status tanah pertanian tanaman padi di daerah Kerian bagi tujuan pembangunan perumahan.

Bagaimanapun, kata Choo Kiong, penukaran itu akan dikaji secara terperinci termasuk mengadakan sesi pendengaran awam sebelum diluluskan.

Abdul Yunus berkata, kerajaan tidak sewenang-wenangnya membenarkan mana-mana penukaran status tanah pertanian, apatah lagi sawah padi bagi tujuan pembangunan termasuk perumahan.

"Di Kerian, seperti mana kita tahu, memang kawasan sawah padi terbesar di negeri ini, jadi permintaan (perumahan) itu mungkin ada, tetapi ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

"Bagi saya, apa yang dinyatakan YB Paul Yong itu dari sudut portfolionya sebagai Exco Perumahan dan ia bersempena dengan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035 yang mana dalam tempoh itu sebarang cadangan boleh disuarakan," ujar Abdul Yunus.

Menurutnya, ketika ini, kerajaan menerusi Jabatan Pertanian dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dalam usaha menambah keluasan kawasan jelapang padi di Seberang Perak lebih 7,000 hektar lagi, berbanding lebih 14,000 hektar yang ada sekarang.

"Apabila peringkat jabatan telah selesai, perkara ini akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk kelulusan sebelum diangkat ke pihak kementerian," tambahnya.