Tutup

Peralihan kuasa akan berlaku bila tiba masanya - Tun Mahathir

Peralihan kuasa akan berlaku bila tiba masanya - Tun Mahathir
DR MAHATHIR: Kita belum tahu lagi keadaan negara sekarang ini, sama ada bersedia untuk beralih pentadbiran atau tidak. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
SEPANG: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pentadbirannya akan bertukar apabila tiba masa yang sesuai. 

"Kita belum tahu lagi keadaan negara sekarang ini, sama ada bersedia untuk beralih pentadbiran atau tidak. Bila sampai masanya kita tentukan," ujarnya.

Dr Mahathir menjawab dakwaan punca kekalahan Pakatan Harapan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini disebabkan tiada garis masa yang jelas mengenai peralihan kuasa. 

Malah, beliau juga menerima tuduhan dari pihak tertentu yang menyalahkannya kerana kekalahan tersebut.
"Mungkin saya salah, mana saya boleh tau," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perasmian Penutup Program Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di Pusat Konvensyen dan Hotel Movenpick pada Selasa.

PRK Tanjung Piai 16 November lepas, menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menang besar  dengan  majoriti 15,086 undi.
Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi mengatasi lima pencabarnya yang lain.

Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, mendapat 10,380 undi, manakala calon GERAKAN, Wendy Subramaniam dengan 1,707 undi.

Susulan keputusan PRK Tanjung Piai itu, bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali mendakwa ia adalah referendum terhadap kerajaan pimpinan Dr Mahathir.

Beberapa Ahli Parlimen PH turut dilaporkan mendesak perubahan dalam kepemimpinan pakatan itu.

Ia termasuk Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang dilaporkan berkata, Dr Mahathir harus mencontohi David Cameron, yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2016, kerana gagal menghalang United Kingdom meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

Pada Isnin, Dr Mahathir berkata, PH akan membuat 'post mortem' yang terperinci, serius dan jujur di semua peringkat parti bagi mengenal pasti punca sebenar kekalahan pada PRK Tanjung Piai.

Katanya, beliau menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat Tanjung Piai, walaupun sebelum ini sudah menjangkakan bahawa majoriti akan beralih arah ke pihak lawan.




Tag: Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, Pakatan Harapan, PRK Tanjung Piai, peralihan kuasa



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.