Peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri bergantung kepada pimpinan itu sendiri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, paling penting kini semua bersama-sama dalam menuju Malaysia Baharu.

"Peralihan kuasa itu bergantung kepada pimpinan, jadi tidak apalah apa-apa. Tetapi saya hendak kita bersama-sama dalam menuju Malaysia Baharu ini," katanya semasa sidang media selepas melancarkan Hari Jururawat Antarabangsa di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Ahad.

Beliau mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang sedia bersara dari politik jika Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad enggan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wakil rakyat Iskandar Puteri itu juga enggan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang jika Dr Mahathir berbuat demikian.

Kit Siang berkata demikian sebagai menjawab kenyataan pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, yang mendakwa Dr Mahathir tidak akan menyerahkan jawatan itu kepada presiden PKR.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Wan Azizah memberitahu, kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan bukti sokongan selain kerjasama dengan Warisan.

Pada Sabtu, Calon DAP, Vivian Wong Shir Yee, menang PRK Parlimen Sandakan dengan majoriti 11, 521 selepas memperoleh 16,012 undi bagi menewaskan calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin (4,491 undi).

Pertandingan lima penjuru itu turut menyaksikan tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah, Hamzah Abdullah mendapat 788 undi; bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Abdul Samat (126 undi) dan ahli perniagaan, Chia Siew Yung (178 undi), sekali gus hilang wang pertaruhan.