Peranan Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) tidak lagi relevan dalam menjalankan fungsi pentadbiran tanah, perancangan dan pengurusan perbandaran di Kampung Baru.

Menurut kenyataan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), keputusan itu diambil setelah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2 Dis 2019 dengan mengambil kira pandangan perundangan daripada Jabatan Peguam Negara berkenaan status lembaga itu serta surat daripada Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan bertarikh 13 Feb 2020.

"Sebarang urusan berhubung dengan status Lembaga Pentadbiran MAS telah diserahkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) untuk diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang semasa yang berkuat kuasa.

"Fungsi pentadbiran tanah di Kampung Baru dilaksanakan sepenuhnya oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) dan bukannya di bawah Kaedah-kaedah MAS berdasarkan peruntukan kepada subseksyen 5 (1) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 1973 (Akta A206)," menurut kenyataan itu pada Sabtu.

PKB juga memaklumkan Kaedah-kaedah MAS hendaklah dimansuhkan kerana Lembaga Pentadbiran MAS tidak lagi mempunyai apa-apa fungsi memandangkan kebanyakan tanah MAS telah menjadi tanah beri milik dan tanah-tanah yang tinggal hanya menunggu masa untuk diberi milikan.

"Perkara-perkara yang berkaitan dengan perancangan dan pengurusan perbandaran di Kampung Baru merupakan bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diperuntukkan di bawah Akta Wilayah Persekutuan (Perancangan) 1982, Akta Bandaraya Kuala Lumpur 1973, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

"Lembaga Pentadbiran MAS tidak lagi boleh terlibat dalam pengurusan perbandaran termasuk pengeluaran permit penjajaan, kutipan bayaran tempat letak kereta dan sewa ruang iklan serta tidak lagi boleh terlibat dalam kawalan pembangunan," menurut kenyataan itu.

Selain itu, Lembaga Pentadbiran MAS juga tidak boleh terlibat dalam kawalan pembangunan termasuk mengeluarkan kelulusan perintah pembangunan, pelan bangunan, pelan kejuruteraan, permit kerja bangunan dan kerja tanah, penutupan jalan awam dan kebenaran menduduki bangunan.

Bagaimanapun, KWP mengalu-alukan penglibatan Lembaga Pentadbiran MAS untuk berperanan sebagai badan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat perundingan dalam membantu urusan penyelesaian harta pusaka dan tanah dalam kalangan penduduk Kampung Baru.

-- BERNAMA