Tutup

Perang dagang: 'AS baliklah ke pangkal jalan' - Guan Eng

Perang dagang: 'AS baliklah ke pangkal jalan' - Guan Eng
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata masalah yang mendepani ekonomi dunia pada ketika ini adalah apabila AS dilihat gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh mereka sendiri. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan menggesa Amerika Syarikat (AS) untuk kembali melaksanakan dasar ekonomi dan perdagangan secara multilateral.
 
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata masalah yang mendepani ekonomi dunia pada ketika ini adalah apabila AS dilihat gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh mereka sendiri.
 
“Masalah yg berlaku sekarang ialah bila kita lihat dasar baru ekonomi AS seakan-akan tidak mahu mematuhi peraturan-peraturan yang mereka sendiri gubal atau kemukakan.
 
“Sekarang mereka nak buat secara unilateral. Malaysia sekali lagi minta AS kalau boleh balik ke pangkal jalan iaitu dengan menegakkan sistem multilateralism dalam perdagangan atau ekonomi.
 
“Ia supaya janganlah ada konfrontasi melalui sekatan-sekatan ekonomi dan tarif, tapi menerusi perbincangan. Kita janganlah (saling) berlawan, kita jadi kawan supaya semua boleh dapat manfaat dan untung,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
 
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan rambahan daripada Datuk Seri Ronald Kiandee (PH-Beluran) yang meminta pandangan kerajaan berkenaan ketidaktentuan dasar ekonomi AS dibawah pentadbiran Donald Trump.
 
Menjawab soalan asal Ronald berkenaan penyenaraian Malaysia dalam Pemantauan Negara Pemanipulator Mata Wang Jabatan Perbendaharaan AS, Guan Eng berharap Malaysia dikeluarkan daripada senarai tersebut.
 
Beliau bagaimanapun menegaskan kemasukan Malaysia ke dalam senarai itu sebenarnya menonjolkan kekukuhan negara serta peranan Malaysia dalam ekonomi dunia.
 
“Laporan terkini itu tidak menamakan Malaysia sebagai manipulator mata wang. Tetapi saya ingin beri jaminan bahawa kita akan memastikan kita sekadar berada dalam senarai itu dan kalau boleh dikeluarkan daripada senarai ini.
 
“Tetapi bukan dengan memastikan prestasi kewangan jatuh menjunam. Tetapi tidak dilabelkan sebagai manipulator mata wang,” katanya.



Tag: Donald Trump, Lim Guan Eng, Dewan Rakyat, Amerika Syarikat, Malaysia, ekonomi, perang perdagangan, Parlimen



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.