Tiada negara yang akan menerima keuntungan dalam ‘tempoh jangka masa panjang’ daripada perang dagang, tegas Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde.

Dalam satu sidang media khas sempena lawatan kerja beliau ke Bank Negara hari ini, Lagarde berkata, kesan perang dagang memang mampu memberi kesan positif serta peluang kepada beberapa negara, tetapi hanya untuk jangka masa yang pendek.

Katanya lagi, kesan positif itu tidak akan mampu memberi keuntungan masa panjang terutamanya berkaitan perbelanjaan serta kemasukan pelaburan asing.

“IMF tidak memberi pandangan berkaitan hal politik, tetapi daripada yang kami perhatikan, tiada negara yang akan terima keuntungan daripada perang dagang ini,” ujar beliau.

Lagarde berkata demikian ketika diminta memberi pandangan mengenai perang dagang yang berlaku antara Amerika Syarikat (AS) dan China,serta ketegangan antara AS dan Iran yang semakin meningkat muktahir ini.