PENGELUAR tempatan cecair pembunuh kuman (sanitizer), topeng dan pakaian keselamatan sedang bertungkus lumus memenuhi permintaan satu dunia bagi membantu usaha memerangi wabak penularan COVID-19.

Malaysia yang mempunyai beberapa syarikat ternama pengeluaran topeng, peralatan, ubatan dan cecair pembunuh kuman (sanitizer) jadi tumpuan terhadap pemintaan yang melonjak ini.

Namun keupayaan syarikat tempatan memenuhi permintaan yang meningkat mendadak kebelakangan ini terbantut kerana bahan ramuan yang diperlukan kian sukar untuk diperolehi.

Berdasarkan tinjauan Channel News Asia, syarikat pengeluar Malaysia melapor kanpermintaan terhadap barangan tersebut secara amnya meningkat lima kali ganda. Pada masa sama, bahan asas iaitu cecair alkohol ethanol yang perlu dalam proses membunuh kuman mengalami kenaikan harga hingga empat kali ganda.

Tidak lama dahulu, satu liter alkohol ethanol berharga RM4.50 tetapi kini meningkat sehingga RM18 seliter.

Lebih memeritkan, aksesori lain seperti botol plastik dan peralatan sampingan kebanyakannya datang dari China!

Pengeluaran segala barangan dari China juga sedang menghadapi kekangan menyebabkan permintaan dalam dan luar negara tidak dapat dilayan sepenuhnya.

Sebuah syarikat pengeluar pencuci tangan (sanitizer) yang beroperasi di Lembah Klang menambah pengeluaran daripada 20,000 liter sebulan hingga tiga kali ganda.

Ini memerlukan penambahan bahan alkohol ethanol dari 100 tong sebulan kepada 300 tong sebulan sejak pertengahan bulan Januari lalu.

Kebiasaanya, pengurus syarikat dan pejabat akan memesan 50 liter sebulan bahan pencuci kuman tetapi sejak penularan wabak ini di China, permintaan meningkat mendadak 10 kali ganda bagi setiap pelanggan.

Selain dari China, bekalan alkohol ethanol juga diimport dari Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun. Hampir kesemua pembekal ethanol luar negara sekarang mengenakan harga yang lebih tinggi berbanding bulan bulan sebelum COVID-19 muncul.

Sebuah syarikat pengeluar barangan perubatan di Klang kini mempertingkatkan operasinya untuk membekalkan lebih dari 20,000 botol cecair pencuci tangan. Kini syarikat itu sedang berusaha meningkatkan pengeluaran setelah mendapat pesanan dari luar negara.

Di Bangi pula, sebuah syarikat pengeluar biasanya mengeluarkan 400,000 botol cecair pencuci tangan setahun. Ekoran penularan COVID-19, syarikat itu kini sudah mengeluarkan 395,000 botol dalam masa tiga minggu kebelakangan ini sahaja!

Selain dari alkohol ethanol, pam yang dicantum kepada kepala botol juga sedang kurang di pasaran dan ini menyebabkan harganya melambung tinggi.

Sebuah syarikat pembekal alkohol ethanol tempatan melaporkan kadar pengeluaran bulanan sudah dipertingkat berkali ganda ekoran permintaan mendadak dari dalam dan luar negara.