Perang saraf media Daish ancam keselamatan negara

Perang saraf media Daish ancam keselamatan negara
AHMAD SAUFFIYAN: Bagi Malaysia, kajian mengenai media atau kandungan media kumpulan pengganas adalah terbatas. - Gambar hiasan
PADA 27 Januari 2019, dunia digemparkan dengan dua serangan bom ke atas sebuah katedral Katolik di bandar Jolo, Selatan Filipina.

Serangan bom pertama dilaporkan meledak di dalam Katedral Marian of Our Lady Mount Carmen sekitar jam 8.45 pagi menyebabkan orang ramai bertempiaran lari keluar ke kawasan letak kereta dan serangan bom kedua berlaku ketika penganut yang ketakutan dan panik sedang berkumpul di kawasan tersebut.

Jumlah kematian dilaporkan lebih 18 orang terbunuh dan sekitar 83 yang lain cedera. Antara yang terkorban termasuklah lima orang tentera, seorang pengawal pantai dan 12 orang awam.

Melalui agensi berita Amaq, Daish mengaku bertanggungjawab dalam serangan ini.

Dari laporan berita dan kenyataan dari agensi media Amaq, kita dapat lihat bahawa kumpulan Daesh bukan setakat mampu melakukan serangan secara terancang malah mereka juga mempunyai kemampuan untuk menubuhkan dan menguruskan organisasi media sendiri.

Penggunaan media

Tujuan serangan mereka adalah satu, iaitu untuk memastikan setiap operasi serangan mereka mendapat perhatian dan liputan media global.

Berikut adalah tujuh fakta mengenai pemilikan dan penggunaan media oleh Daish yang dibincangkan oleh cendekiawan di dunia:

Menurut David B. Edward dalam bukunya Caravan of Martyrs: Sacrifice and Suicide Bombing in Afghanistan (2017), staf media Daesh menggunakan dron untuk merakam serangan-serangan berani mati dari udara untuk memberi kesan khas Hollywood serta merakam video serangan lain menggunakan kamera yang dipasang pada rifal AK-47 untuk membuat penonton berasa seolah-olah berada dalam permainan video first-person shooter.

Buku oleh Laura Scaife bertajuk Social Networks as the New Frontier of Terrorism: #Terror (2017) mengatakan, Daesh telah melancarkan sebuah permainan video ala Call of Duty menggunakan platfom permainan video ARMA III yang telah digodam dan diubahsuai bagi membolehkan pemain mengambil peranan sebagai seorang anggota Daesh dalam misi membunuh 'musuh' dari barat.

Daesh atau ISIS mempunyai sayap media pelbagai bahasa dikenali sebagai al-Hayat bagi membolehkan kandungan media mereka difahami oleh khalayak dari Amerika, Eropah, dan Canada.
Setakat ini, lebih 3,000 warganegara barat telah menjadi pejuang Daish (Willis & Fellow, 2017).

Malcome Nance dan Chris Sampson dalam bukunya ISIS: The War to Kill the Cyber Jihad (2017) menulis bahawa Dr Wa’el Adel Hussain merupakan ketua organisasi media Daesh iaitu al-Furqan dan terlibat dalam operasi media lain seperti al-Hayat, Agensi Berita Amaq dam juga an-Naba.

Beliau bertanggungjawab dalam penerbitan dan pengedaran ribuan kandungan media dalam bentuk video, mp3, dan pdf berkaitan Daesh. Beliau terbunuh pada 2016.

Buku The Terrorist Argument: Modern Advocacy and Propaganda (2018) oleh Christopher Harmon dan Randall Bowdish menulis, seorang bekas jurukamera Daesh bernama Abu Hajer memberitahu bahawa kebanyakkan staf media Daish merupakan warga asing berpengalaman yang pernah belajar di negara barat.

Operatif media baru Daesh perlu menghadiri program latihan selama sebulan untuk menguasai teknik membuat filem, mencampurkan fotej dan melakukan temuramah berkesan.

Selain itu, staf media Daesh dibayar tujuh kali ganda lebih tinggi dari seorang pejuang jihadis biasa. 

John Rowley melalui bab buku bertajuk The Inghamasi: New Way of War yang dipetik dari buku suntingan Dave Dilegge dan Robert J. Bunker bertajuk Islamist Insurgents in the Defensive: Al-Qaeda and the Islamic State in 2016 (2018) menulis bahawa, agensi Berita Amaq mempunyai tema berita yang sama iaitu dengan memberi fokus kepada berita mengenai infiltrasi pasukan inghamasiyin terhadap sesuatu sasaran yang signifikan, pertempuran ganas sehingga mereka kehabisan peluru dan melakukan detonasi menggunakan pengebom berani mati untuk merobek pertahanan musuh serta disusuli dengan serangan ‘konvensional’ oleh pengganas Daesh.

Nicole Matejic dalam artikel bertajuk Content Wars: Daesh’s Sophisticated use of Communications yang diterbitkan dalam NATO Review Online Magazine mengatakan bahawa, kejayaan strategi media Daesh merupakan sesuatu yang menakutkan dalam era moden hari ini.

Beliau menambah lagi, media bukanlah sebuah strategi sebaliknya Daesh telah mempamerkan satu bentuk strategi komunikasi sofistikated dengan melibatkan media secara taktikal.

Oleh itu, memahami perbezaan media dan komunikasi sangat penting kerana terma media membayangkan kemampuan memilik 'mentaliti penyiaran' manakala komunikasi yang kita ketahui merujuk kepada dialog dan perbualan.

Dalam konteks pengrekrutan pejuang muda, Larry Siegel dan Brandon Welch (2015) mengatakan bahawa, Daesh telah menggunakan laman sesawang dan media sosial untuk mengrekrut seramai 30,000 pejuang asing dari 100 buah negara untuk berperang di Syria dan Iraq.

Secara kesimpulannya, dari rujukan-rujukan yang telah diberikan di atas, kumpulan pengganas Daesh sememangnya mempunyai kemampuan dalam menguruskan sayap media mereka.

Kesedaran mengenai media dari aspek pengurusan dan pembinaan kandungan yang strategik telah memberi kelebihan kepada Daish menyebarkan ideologi untuk tujuan pengrekrutan.

Kajian terbatas

Bagi Malaysia pula, kajian mengenai media atau kandungan media kumpulan pengganas adalah terbatas kerana tertakluk kepada undang-undang seperti Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Oleh kerana wujud batasan ini, maka kajian mengenai kandungan media kumpulan pengganas dan bagaimana ia mempengaruhi khalayak boleh dianggap terpinggir.

Berbanding di negara-negara barat, para pengkaji barat mempunyai fleksibiliti dalam mengkaji kandungan media kumpulan pengganas dan sebab itu mereka mampu menambahbaik keilmuan bidang kajian pengganas dari aspek media.

Sokongan dari kerajaan mereka seperti jabatan, agensi, atau kementerian yang terlibat dengan aspek keselamatan negara juga sangat membantu negara barat dalam mencari solusi kepada masalah ideologi pengganas yang semakin berleluasa dalam media sosial.
   
Jika batasan ini kekal, maka kerajaan Malaysia perlu memikirkan cara yang lebih efektif untuk membendung penyebaran ideologi pengganas Daesh melalui media sosial.

Kematian ahli kumpulan pengganas yang terlibat dalam operasi menyerang tentera kerajaan atau orang awam contohnya mudah diganti dengan rekrut-rekrut baru.

Akan tetapi video rakaman operasi serangan mereka yang dirakam akan digunakan berulangkali untuk tujuan propaganda media.

Objektif kita adalah untuk mengatasi video propaganda kita dengan strategi gerak saraf perang saraf yang lebih berkesan.

Kesedaran mengenai kepentingan kualiti kandungan media, ilmu propaganda, strategi gerak saraf dan perang saraf media dalam membasmi ideologi pengganas di media sosial perlu dipelajari dan kuasai oleh kerajaan hari ini sebagai satu langkah terbaik.

Undang-undang anti pengganas sedia ada sememangnya cukup berkesan namun, peperangan hari ini adalah peperangan hati, minda, spiritual, ideologi, makna, dan symbol yang mana medan pertempurannya adalah di media sosial dan internet. 

Sebagai pengkaji pula, sememangnya media adalah medium gerak saraf yang sangat ampuh dalam memberi impak kepada operasi perangsaraf yang dilakukan.

Kandungan media berkualiti memberi kesan psikologi yang berpanjangan. Jika ini tidak diatasi maka perang melawan ideologi pengganas akan menjadi lebih rumit.

Selain itu, melihat kepada magnitud masalah pengganas hari ini yang sentiasa menjadi ancaman kepada keselamatan negara, kita perlu sedar bahawa ilmu pengurusan media kini tidak lagi menjadi ilmu ekslusif kepada organisasi media kerajaan atau swasta sahaja.

Melalui media sosial, gerakan-gerakan bukan kerajaan, militan dan sebagainya kini mempunyai peluang yang sama dalam membangunkan kandungan media sendiri untuk tujuan gerak saraf dan perang saraf yang membolehkan mereka memenuhi objektif gerakan mereka.

Walaupun wujud pengkritik yang mengatakan bahawa terma perang saraf dan gerak saraf ini adalah terma lama, namun kelimuan gerak saraf dan perang saraf perlu dibangunkan dan ditambah baik di pihak kerajaan dari semasa ke semasa bagi membantu kerajaan mencari jalan dalam membendung perkembangan ideologi pengganas hari ini.


Rujukan
  1. Matejic, N. 2019. Contents wars: daesh’s sophisticated use of communications. NATO Review Magazine. Diakses dari https://www.nato.int/docu/review/2016/also-in-2016/wars-media-daesh-communications-solis/en/index.htm. Pada 8 Februari 2019
  2. Rowley, J. 2018. The inghamasi: new way of war. Dalam Dave Dilegge, D. & Dunker R.J. (Eds.), Islamist insurgents in the defensive: al-qaeda and the islamic state in 2016. New York, NY: Small War Foundation.
  3. Siegel, L. J. & Welsh, B.C. 2015. Juvenile delinquency: theory, practice, and law (13th Ed.). Boston, MA: Cengage.
  4. Edward, D.B. 2017. Martyrs: sacrifice and suicide bombing in afghanistan. California: University of California Press
  5. Nance, M. & Sampson, C. 2017. Isis: the war to kill the cyber jihad. New York, NY: Skyhorse Publishing
  6. Willis, J. & Fellow, A.R. 2017. Tweeting to freedom: an encyclopaedia of citizen protests and uprisings around the world. California: ABC-CLIO, LLC
  7. Scaife, L. 2017. Social networks as the new frontier of terrorism: #terror. New York, NY: Routledge
  8. Harmon, C.C. & Bowdish, R.G. 2018. The terrorist argument: modern advocacy and propaganda. Washington, DC: The Brookings Institution



* Penulis adalah penyelidik dalam ilmu Perangsaraf Media dan Informasi dan pernah menjadi Felo Penyelidik Operasi Psikologi dan Propaganda di Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi (UiTM).

** Pandangan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.