Jenayah peras ugut terhadap pemaju, pengurus tapak pembinaan dan kontraktor masih wujud seperti yang dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.

Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, secara amnya, kes pemerasan dibahagikan kepada dua bahagian di bawah Kanun Keseksaan.

Pertama, Seksyen 384 kanun itu memperuntukan kesalahan melakukan seksaan bagi pemerasan sementara kedua, Seksyen 385 pula berkenaan mendatangkan ketakutan bencana kepada seseorang bertujuan melakukan pemerasan.

Mengikut rekod, kes pemerasan yang melibatkan kontraktor dan pemaju pembinaan dibahagikan kepada empat kawasan berbeza iaitu di tapak projek pembinaan, pusat hiburan, premis perniagaan dan taman perumahan.

Pada 2018, dilaporkan terdapat 68 kes pemerasan di tapak pembinaan, 44 di pusat hiburan, 13 di premis perniagaan dan enam di taman perumahan.

Menurut Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa, paling banyak berlaku pemerasan ialah di tapak projek dan di kawasan perumahan.

“Kebiasaannya mereka terdiri daripada kongsi gelap ternama, dan juga samseng tempatan.

“Sekiranya mangsa enggan membayar (wang perlindungan), maka suspek akan bertindak dengan menggertak atau melakukan kekerasan dengan merosakkan jentera atau mengkhianati harta benda projek,” katanya kepada Astro AWANI.



Tambahnya, mangsa biasanya enggan membuat laporan polis kerana khuatir akan dicederakan lagi oleh kumpulan samseng berkenaan.

Rohaimi juga berkata, aktiviti jenayah suspek ini biasanya tertumpu di kawasan bandar besar, seperti di Lembah Klang.

Dalam pada itu, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata masalah seperti ini memang telah wujud sewaktu beliau menjadi wakil rakyat pada 1980-an dan 1990-an.

“Saya telah mendengar banyak aduan daripada pengurus tapak pembinaan yang diugut.

“Saya percaya masalah ini mungkin hari ini lebih serius memandangkan sekarang lebih banyak projek pembangunan diusahakan.

“Pelbagai tindakan proaktif boleh dibuat oleh mangsa sekiranya menghadapi masalah ini iaitu dengan membuat laporan kepada pihak polis,” katanya kepada Astro AWANI.

Dalam pada itu, Astro AWANI juga telah cuba mendapatkan mangsa melalui soal selidik di laman sosial.

Sekiranya ada di antara anda yang menghadapi isu ini diharap tampil berkongsi maklumat dan pengalaman di mana-mana platform laman sosial kami.