Kerajaan negeri Melaka belum memutuskan kadar peratusan kenaikan tarif air bagi penggunaan lebih 20 meter padu air kerana masih mencari formula terbaik untuk penduduk di negeri itu.

Ketua Menteri, Adly Zahari menjelaskan hanya penggunaan air lebih 20 meter padu sebulan sahaja yang akan tertakluk kepada kenaikan tarif air manakala kenaikan bagi industri tidak melebih 15 peratus.

Beliau berkata 50 peratus penduduk di negeri itu menggunakan air bawah 20 meter padu sebulan dan kadar tarif bagi jumlah tersebut dijangka tidak berubah.

"Kenaikan akan melibatkan penggunaan air lebih 20 meter padu ataupun kegunaan industri," katanya pada program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di sini, malam tadi.

Jumaat lalu, Adly mengumumkan kadar tarif air di negeri itu akan dinaikkan bagi menampung pembelian sebahagian daripada sumber air dari negeri jiran, isu penyelenggaraan serta keperluan untuk pembangunan infrastruktur termasuk pembinaan empangan baharu.

-- BERNAMA