Tutup

Perayaan kebudayaan harus diraikan semua lapisan masyarakat - Jemaah Menteri

Perayaan kebudayaan harus diraikan semua lapisan masyarakat - Jemaah Menteri
Jemaah Menteri sebulat suara bersetuju bahawa perayaan kebudayaan harus diraikan oleh semua lapisan masyarakat Malaysia. - Foto REUTERS
KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri sebulat suara bersetuju bahawa perayaan kebudayaan harus diraikan oleh semua lapisan masyarakat Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy berkata keputusan itu diambil selepas timbul kebimbangan mengenai penyertaan umat Islam dalam merayakan sambutan kebudayaan masyarakat terkenal bukan Islam baru-baru ini.
"Jemaah Menteri, yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad telah sebulat suara bersetuju bahawa semua perayaan berasaskan kebudayaan harus diraikan dan disertai oleh rakyat Malaysia sebagai tanda sebuah masyarakat yang bersatu padu.

"Rakyat Malaysia terkenal dengan kepelbagaian budaya, maka atas landasan prinsip Rukun Negara dan semangat perpaduan sejati, kita semua harus meraikan perayaan ini tanpa ragu-ragu serta berprasangka buruk," kata Waytha dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Waytha yang bertanggungjawab terhadap perpaduan negara dan kesejahteraan sosial berkata beliau bersama rakan sejawatnya, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof akan menganjurkan pertemuan dengan pelbagai badan agama Islam dan bukan Islam.

BACA: Ponggal: Isu pekeliling KPM dibawa ke Kabinet pagi ini - Gobind

BACA: Pesta Ponggal: Itu keputusan KPM, JAKIM hanya beri pandangan


"Ia adalah untuk memberikan pemahaman yang lebih baik tentang perbezaan antara perayaan tradisional dan perayaan agama supaya penjelasan berkenaan penglibatan rakyat di masa hadapan dalam meraikan sebarang perayaan seumpamanya adalah lebih tepat," jelasnya.

Beliau pada masa sama percaya inisiatif itu akan meningkatkan persefahaman antara rakyat Malaysia atas nama perpaduan.

Menjadi bualan di laman sosial sejak semalam tentang satu pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan pengharaman menyertai sambutan Pesta Ponggal bagi umat Islam.

Surat pekeliling KPM itu turut menyatakan ia merupakan keputusan mesyuarat Panel Pakar Syariah (PPS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 8 dan 9 April tahun lalu.

Pekeliling itu turut menggariskan beberapa syarat yang digariskan oleh JAKIM seandainya orang Muslim terpaksa hadir Pesta Pongal.


Tag: Mahathir Mohamad, Perdana Menteri, perpaduan, rakyat Malaysia, Waytha Moorthy, Mujahid Yusof, ponggal



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.