Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tetap diteruskan bermula 19 Ogos ini selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekali lagi menolak permohonan Pendakwa Raya untuk menangguhkan perbicaraan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah hari ini menolak notis usul yang dikemukakan pasukan pendakwaan yang mengendalikan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd (SRC) selepas mendapati tiada sebab munasabah untuk membenarkan permohonan itu.

Dalam keputusannya, Collin berkata, penangguhan perbicaraan sesuatu kes boleh dipertimbangkan jika ia membabitkan isu ketiadaan saksi, atau sebab lain yang munasabah.

Bagaimanapun katanya, kes 1MDB ini merupakan kes berkepentingan awam dan perlu dijalankan tanpa kelewatan atau penangguhan.

Alasan bahawa perbicaraan kes SRC sedang berlangsung bukan satu alasan munasabah untuk menangguhkan perbicaraan 1MDB.

Tambahnya, walaupun telah didakwa hampir setahun lalu, namun tertuduh (Najib) masih belum dibicarakan dalam kes ini.

Bagaimanapun, Collin berkata, mahkamah akan lebih fleksibel sekiranya terdapat permohonan daripada kedua-dua pihak untuk melapangkan tarikh perbicaraan 1MDB bagi memberi laluan kepada kes SRC.

Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan kes 1MDB bermula 19 Ogos sehingga 29 Ogos dan akan bersambung sepanjang bulan September dan Oktober sehingga 14 Nov, kecuali pada hari Jumaat dan cuti umum.

Pendakwaan yang diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas memohon supaya perbicaraan kes itu ditangguhkan kerana perbicaraan penyelewengan dana SRC yang dihadapi Najib sedang berlangsung ketika ini.

Pasukan pendakwaan yang mengendalikan perbicaraan tuduhan berkaitan SRC sebelum ini mengemukakan beberapa permohonan lisan supaya perbicaraan melibatkan 1MDB sebelum memfailkan notis usul pada 11 Julai lalu.

Melalui afidavit permohonan itu, Thomas berkata, penangguhan perbicaraan kes 1MDB dibuat kerana perbicaraan kes SRC yang bermula 3 April lalu dan berterusan sehingga 15 Ogos ini di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Menurutnya, perbicaraan SRC sedang berjalan manakala tarikh bicara 1MDB seperti ditetapkan sebelum ini terlalu dekat.

Jelasnya, bagi tujuan perancangan perbicaraan, adalah mustahil untuk perbicaraan kes SRC dapat ditamatkan pada tarikh akhir yang ditetapkan iaitu pada 16 Ogos. Maka wajarlah permohonan untuk penangguhan ini.

Sementara itu, peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang bersetuju dengan permohonan Thomas, turut berhujah bahawa kes anak guamnya akan diprejudiskan sekiranya kedua-dua perbicaraan dijalankan sekali.

Menurut Muhammad Shafee, Najib diprejudiskan apabila pasukan pembelaan bagi kes SRC dan 1MDB adalah terdiri daripada pasukan yang sama.

Jelasnya, pasukan peguambela perlu membuat persediaan bagi kedua-dua kes yang berbeza pada waktu sama, oleh itu meneruskan perbicaraan kes berlainan memperjudiskan anak guam beliau dan keadaan itu menyebabkan penindasan berlaku terhadap pembelaan memandangkan banyak dokumen yang perlu dikaji.

Tambah Muhammad Shafee lagi, beliau juga mempunyai kes lain di mahkamah berlainan di mana tarikh perbicaraan juga telah ditetapkan pada Nov 2019 hingga awal tahun depan.