Selepas hampir dua tahun didakwa di mahkamah, kes rasuah membabitkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon berhubung pembelian sebuah banglo mewah di bawah harga pasaran, akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini esok.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail akan mendengar perbicaraan kes itu yang dijadual berlangsung lima hari mulai Isnin sehingga Jumaat ini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud ketika dihubungi Bernama berkata pihak pendakwaan bersedia untuk mengendalikan kes itu.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Phang, ketika dihubungi berkata kenyataan pembelaan telah diserahkan kepada pendakwaan pada Rabu lepas dan pasukan pembelaan juga bersedia untuk perbicaraan kes itu.

Pada 30 Jun 2016, Lim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah berkaitan penukaran status tanah daripada pertanian kepada tempat kediaman dan pembelian satu lot tanah serta banglo pada harga bawah nilai pasaran.

Lim, 58, dituduh menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang untuk mendapatkan keuntungan bagi diri sendiri dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan bagi menukar tanah pertanian kepada zon perumahan awam di barat daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Aras 28, Bangunan Komtar, di sini pada 18 Julai, 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Lim turut berdepan pertuduhan kedua iaitu menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan bagi dirinya satu lot tanah dan sebuah banglo di No 25, Jalan Pinhorn, George Town pada 28 Julai, 2015 daripada Phang pada harga RM2.8 juta, harga yang beliau dakwa beliau tahu tidak sepadan dengan nilai pasaran hartanah berkenaan ketika itu iaitu RM4.27 juta.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Phang mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Lim dalam mendapatkan banglo berkenaan pada harga bawah nilai sebenar.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat dan pada tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama-sama Seksyen 165, memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 30 Jun 2016, Lim dan Phang dibawa ke Mahkamah Sesyen untuk berdepan pertuduhan itu oleh kerana kes rasuah akan disebut di Mahkamah Sesyen.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Lim dan Phang selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Roslan Hamid oleh kerana kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mengetuai pasukan pendakwaan memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 60 Akta SPRM.

Sebelum perbicaraan bermula. Lim dan Phang memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan Seksyen 62 Akta SPRM yang menghendaki Orang Kena Tuduh supaya mengemukakan kenyataan pembelaan mereka kepada pendakwaan sebelum bermulanya perbicaraan, adalah bercanggah dengan perlembagaan.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka, bagaimanapun, pada 7 Ogos 2017, Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu selepas membenarkan rayuan oleh Lim dan Phang.

Pada 14 Dis 2017, Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan selepas membenarkan rayuan pendakwaan dan memutuskan bahawa Seksyen 62 adalah mengikut perlembagaan dan memerintahkan supaya perbicaraan kes itu diteruskan.

-- BERNAMA