Barisan Lembaga Pengarah SRC International Sdn. Bhd mempunyai pilihan untuk meletak jawatan atau digugurkan jika tidak patuh pada minit mesyuarat yang mengandungi nasihat perdana menteri pada waktu itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pendedahan itu dibuat oleh saksi ke-39 iaitu bekas pengerusi syarikat kewangan berkenaan, Tan Sri Ismee Ismail ketika ditanya pasukan pendakwaraya di Mahkamah Tinggi pada Selasa.

Di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, beliau turut ditanya beberapa soalan oleh Timbalan Pendakwaraya, V. Sithambaram termasuk:

Sithambaram: Realitinya jika ahli lembaga pengarah tidak ikut minit mesyuarat apa akibatnya?

Ismee: Mungkin akan letak jawatan atau remove.

Sithambaram: Cuba lihat semula, bolehkah ahli lembaga pengarah mempertimbangkan pelaksanaan keputusan kewangan atau pelaburan tanpa nasihat PM?

Ismee: Tidak.

Ismee turut memberitahu mahkamah bahawa segala perincian yang diberikan berkenaan dengan minit mesyuarat oleh perdana menteri akan dipertimbangkan dan dilaksanakan.

Mahkamah turut diberitahu bahawa Najib merupakan perdana menteri dalam kes ini dan memegang jawatan penasihat pengerusi dalam 1 Malaysian Development Berhad (1MDB).

Terdahulu, semasa sesi pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Tan Sri Mohammad Shafee, Ismee juga bersetuju bahawa pengurusan syarikat kewangan itu tidak memerlukan lembaga pengarahnya untuk patuh secara keseluruhan kepada nasihat Najib selaku Penasihat Emeritus syarikat itu sebelum ini.

Kata beliau, ia merupakan ketetapan yang terkandung dalam Artikel 117 Persatuan SRC bahawa Lembaga Pengarah perlu mempertimbangkan terlebih dahulu nasihat Perdana Menteri dan pelaksanaan akan dibuat berdasarkan kepentingan syarikat.

Mahkamah turut melepaskan Ismee selaku saksi ke-39 selepas hadir dalam perbicaraan kes berkenaan selama tujuh hari.

Saksi seterusnya yang dipanggil bagi memberi keterangan adalah bekas ketua setiausaha kabinet, Tan Sri Mazidah Abdul Majid.

Astro AWANI pada Isnin melaporkan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC International Sdn. Bhh., Tan Sri Ismee Ismail memberitahu mahkamah bahawa beliau mengaitkan perkataan ‘kerajaan’ dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Saksi pendakwaan ke-39 berusia 54 tahun itu turut dilihat bertikam lidah dengan peguam Najib, Harvinderjit Singh mengenai perkataan ‘kerajaan’ yang mana saksi itu bertegas menyatakan pendiriannya bahawa dalam pemikirannya, Najib adalah kerajaan.

Harvinderjit kemudian yang menjawab bahawa Memorandum dan Tatarusan Persatuan tidak menyatakan bahawa Ismee memerlukan kelulusan daripada perdana menteri.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan salahguna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.