Beberapa cek di bawah akaun AmBank dan AmBank Islamic milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, telah dikeluarkan kepada beberapa penerima antara Disember 2014 dan Februari 2015, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Saksi ke-lima pendakwaan, Badrul Hisham Mohamad, 42, mengesahkan kesemua cek berkenaan ketika diminta berbuat demikian oleh Timbalan Pendakwaraya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Antara penerima berkenaan ialah Pertubuhan Bersatu Pasok-Momogun Kadazan (UPKO), Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, UMNO Bahagian Johor Bahru, serta beberapa syarikat seperti Solar Shine Sdn Bhd, Vital Spire Sdn Bhd, dan juga Pemegang Amanah Rumah Penyayang Tun Abdul Razak.


Secara keseluruhan, jumlah kasar cek yang dikeluarkan di bawah dua akaun bank berkenaan mencecah RM10.5 juta.

Selain itu, Mahkamah Tinggi turut diberitahu SRC International Sdn Bhd turut mengeluarkan cek di bawah akaun AmBanknya kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd sebanyak RM20 juta.

Secara keseluruhan, sebanyak 17 cek ditunjukkan kepada Mahkamah, di mana 14 cek dikeluarkan oleh akaun AmBank Najib, satu di bawah akaun AmBank Islamic Najib, satu di bawah SRC International Sdn Bhd, dan satu lagi tidak dinamakan pembayarnya.

Terdahulu, Badrul Hisham, yang bekerja sebagai Pengurus Kanan Bahagian Pemprosesan Cek AmBank menerangkan kepada Mahkamah bagaimana proses verifikasi cek dijalankan, termasuk proses-proses sekiranya terdapat aduan oleh pelanggan.