Pengarah SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Nik Othman Ariff Kamil mempunyai kebenaran dari Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menguruskan akaun bank peribadi AmBank bekas Perdana Menteri itu, Mahkamah Tinggi diberitahu pada Rabu.

Saksi ke-21 pihak pendakwaan, R Uma Devi iaitu pengurus AmBank cawangan Jalan Raja Chulan memberitahu, pihak beliau mendapat kebenaran bertulis daripada Najib bahawa Nik Faisal Ariff dibenarkan untuk mengurus akaun bank, mengambil buku cek serta penyata akaun.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim untuk membaca keterangannya setebal 48 muka surat di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sewaktu perbicaraan itu memasuki hari kelapan hari ini.

Terdahulu, Uma Devi mengesahkan bahawa Najib mempunyai lima akaun bank berasingan di AmBank Jalan Raja Chulan, iaitu empat akaun semasa, dan satu akaun simpanan.

Antara aktiviti transaksi yang disahkan Uma Devi ialah pemindahan wang berjumlah RM3,282,734.16 dari akaun bank milik Najib ke dua kad kredit Platinum.

“Saya mengesahkan surat bertarikh 11 Ogos, 2014, yang mengarahkan sejumlah RM449,586.95 daripada RM3,282,734.16 dikreditkan ke kad kredit Platinum Visa.

“Manakala baki RM2,833,147.21 dikreditkan ke kad kredit Platinum Mastercard,” katanya sambil mengesahkan kedua-dua kad kredit berkenaan di bawah AmBank, namun tidak menyebut siapa pemiliknya yang sebenar.

Pada hari pertama perbicaraan, Peguam Negara Tommy Thomas akan cuba membuktikan sebahagian daripada sejumlah dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, telah digunakan bekas Najib Tun Razak untuk tujuan peribadi.

Selain itu, turut cuba dibuktikan ialah perbelanjaan sejumlah AS$130,625 (RM539,115.50) melalui kad kredit Najib di butik Chanel di Honolulu, Hawaii, serta penggunaan sejumlah cek untuk kerja-kerja pengubahsuaian kediaman peribadi beliau di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, di Pekan, Pahang.

Ketika ini, Ahli Parlimen Pekan itu sedang menghadapi tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram, dan satu tuduhan salah guna kuasa untuk sogokan melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.