Bekas Pengarah SRC International Sdn. Bhd., Datuk Suboh Md Yassin mendedahkan, beliau terpaksa melarikan diri ke luar negara kerana bimbang dengan keselamatan diri dan keluarganya.

Menurut Suboh, pada 2015, beliau telah menerima panggilan daripada seorang tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai wakil Suruhanjaya Percegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, katanya, panggilan itu diterima selepas beliau menghubungi pejabat SPRM untuk membuat janji temu bagi menjelaskan berkenaan SRC International yang sedang disiasat pihak berkuasa itu.

“Wakil SPRM menyatakan kepada saya agar tidak pergi ke pejabat SPRM seperti mana yang dijanjikan dan mengarahkan saya untuk meninggalkan Malaysia,” katanya ketika sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff, di sini hari ini.

Jelas Suboh, beliau mengambil keputusan untuk melarikan diri bersama isteri ke Bangkok, Thailand dan tinggal di sana selama kurang sebulan.

Ujarnya, segala kos di Bangkok ditanggung sendiri oleh beliau.

“Saya rasa takut dengan keadaan yang sedang berlaku dan juga kerana Datuk Seri Najib Razak masih berkuasa sebagai Perdana Menteri pada masa itu.

“Saya tidak tahu apa yang mungkin boleh berlaku kepada saya dan keluarga saya,” kata beliau lagi.

Ketika di Bangkok, kata Suboh, beliau telah bertemu dengan seorang lelaki Thailand yang menyerahkan tiket penerbangan ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sepanjang seminggu berada di negara itu, Suboh memaklumkan bahawa beliau tidak mengetahui siapa yang menanggung semua kos penerbangan dan penginapannya.

Dedah Suboh lagi, sebaik kembali ke Malaysia, beliau telah dihubungi oleh Nik Faisal Ariff Kamil (Pengarah SRC International) yang mengarahkannya untuk melarikan diri sekali lagi.

“Saya buat keputusan untuk tidak lari lagi dan kekal di Malaysia bagi membantu siasatan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Pemeriksaan utama terhadap saksi ke-42 itu dilakukan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.