Pihak pendakwaan dalam kes pembunuhan Kim Chol atau Kim Jong-nam berkata bukanlah menjadi kewajipan pendakwaan untuk memberi rakaman percakapan saksi tiga suspek warga Korea Utara yang telah kembali ke negara mereka kepada pihak pembelaan kerana ia bukan dokumen awam.

Pengarah Pendakwaan Selangor Muhamad Iskandar Ahmad memberitahu Mahkamah Majistret di sini, bahawa beliau tidak dapat memberikan percakapan saksi itu pada peringkat ini kepada kedua-dua peguam yang mewakili tertuduh, Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 28, warga Vietnam.

Pada 1 Mac, Siti Aisyah, dan Doan Thi Huong bersama-sama empat lagi yang masih bebas, didakwa membunuh mangsa berusia 45 tahun itu di Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2), pada kira-kira 9 pagi, 13 Feb lepas.

Kedua-dua wanita itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muhamad Iskandar berkata pihak pendakwaan akan membekalkan percakapan saksi itu semasa perbicaraan kes itu.

"Pada peringkat ini, kami tidak boleh bekalkan," katanya menjawab permohonan peguam Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah dan Hisyam Teh Poh Teik serta Datuk Naran Singh yang mewakili Doan.

Berhubung permohonan pihak pembelaan untuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pelbagai tempat, Muhamad Iskandar berkata pihak pendakwaan hanya memberi tumpuan rakaman CCTV di tempat kejadian di klia2 dan akan merujuk perkara itu kepada pegawai penyiasat.

Beliau berkata pihak pendakwaan tidak tahu apakah permohonan pihak pembelaan kepada polis mengenai CCTV.

Bagi permohonan untuk mendapatkan semua dokumen, "kami masih belum melengkapkan semua dokumen, jadi bagaimana kami dapat membekalkan kepada mereka," kata Muhamad Iskandar.

"Saya tidak fikir mahkamah ini mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan berhubung permohonan berkenaan dan semua pertikaian undang-undang ini boleh dibangkitkan di Mahkamah Tinggi memandangkan mahkamah ini hanya boleh memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi," katanya.

Pihak pendakwaan bagaimanapun, telah menyerahkan rakaman percakapan saksi daripada kedua-dua tertuduh kepada pihak pembelaan hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Harith Sham Mohamed Yasin yang bertindak sebagai Majistret berkata beliau tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengarahkan pihak pendakwaan tetapi beliau telah merekodkan semua permintaan dan aduan peguam dan menasihatkan pendakwaan agar membantu pihak pembelaan berhubung perkara itu.

Terdahulu, Gooi mengadu bahawa ketika anak guamnya ditahan polis, pihak pembelaan telah membuat beberapa percubaan mendapatkan kebenaran menemu bualnya tetapi permintaan beliau ditolak.

Katanya beliau hanya mendapat menemu bual Siti Aisyah selepas dia didakwa di mahkamah, untuk masa yang terhad, iaitu 45 minit bagi setiap lawatan.