Pelakon Den Wahab dan Pengarah Filem, Aziz M. Osman membuat laporan polis selepas ditipu seorang wanita yang menyamar sebagai ejen agensi pelancongan ketika mereka serta keluarga bercuti ke Korea Selatan pda 24 hingga 28 Disember lalu.

Ekoran itu, aktiviti percutian rombongan keluarga mereka bersama 22 pelancong lain terjejas pada hari ketiga selepas isteri Aziz, Lily Lokman menyedari hotel penginapan mereka tidak dibayar.

Menurut Den atau nama sebenarnya, Zaharudin Abd. Wahab, 54 tahun, dia membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara di sini selepas mengalami kerugian sebanyak RM90,000 meliputi kos tiket penerbangan pergi dan balik, penginapan, makanan serta pengangkutan.

Katanya, mereka mula menyedari ditipu individu terbabit pada hari ketika apabila secara tiba-tiba diminta keluar dari hotel penginapan selepas pihak Agensi Pelancongan Arba Travel & Tours tidak mendapat sebarang bayaran.

Mereka turut mendakwa telah melakukan pembayaran secara tunai berjumlah RM50,000 bagi kos tiket penerbangan pergi, makanan dan pengangkutan kepada wanita itu sebelum datang ke Korea selain terpaksa mengeluarkan wang sendiri RM40,000 untuk membeli tiket penerbangan balik.

"Saya rasa tidak perlu lagi perbincangan sebaliknya (wanita itu) membayar semula segala apa juga yang telah dia hutang kepada kami. Wanita ini juga dikatakan telah melakukan penipuan ke atas orang lain," katanya.

Tambah Den, dia berharap agar individu itu dibawa ke muka pengadilan supaya orang ramai tidak menjadi mangsa pada hari kemudian selain memberi tempoh seminggu kepada waita itu untuk menjelas kesemua bayaran yang telah dibuat.

Katanya, para mangsa tidak teragak-agak untuk mendedahkan identiti sebenar wanita itu kepada umum selain mengambil tindakan undang-undang.

"Wanita itu dipercayai aktif menipu orang ramai menerusi pakej pelancongan murah yang ditawarkan," katanya.

Selain itu, Pengarah Operasi Arba Travel & Tours, Ammar Shahri sebaik berkata sahaja menyedari ditipu, pihaknya ada menghubungi wanita itu namun dia berdolak-dalik selain mengugut untuk membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes tersebut.