Malaysia melahirkan rasa kecewa apabila resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penubuhan tribunal khas untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh penerbangan Malaysia Airlines, MH17 di Ukraine tahun lalu ditolak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap di sesi ke-77 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) berkata, Malaysia bagaimanapun akan terus mencari pilihan undang-undang yang lain demi menegakkan keadilan buat keluarga mangsa.

Tegas Najib, tindakan menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB itu tidak mematahkan usaha Malaysia untuk meneruskan usaha menyelesaikan persoalan mengenai nahas tersebut

"Kami benar-benar kecewa apabila resolusi yang dicadangkan untuk penubuhan tribunal antarabangsa bagi membawa mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 ke muka pengadilan telah ditolak menerusi veto.

“Kami akan terus berusaha menegakkan keadilan menerusi jalan undang-undang lain kerana kami terhutang kepada keluarga mangsa.

“Kami terhutang dengan keluarga mangsa, yang terbunuh dalam nahas MH17. Tetapi sama ada ia ada mengenai pembaharuan PBB, menangani pelampau, berurusan dengan pendatang, usaha secara bersama adalah sangat perlu," tambah Najib dalam ucapannya.


Sebelum ini pada Julai, Rusia menggunakan kuasa veto untuk menolak resolusi majlis keselamatan PBB bagi penubuhan tribunal khas bagi mendakwa mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh penerbangan MH17 di Donetsk, Ukraine.

Moscow sebaliknya merangka resolusi pilihan yang tidak memasukkan sebuah tribunal tetapi meminta siasatan penuh antarabangsa.

Pada 17 Julai 2014, penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh semasa berada di timur Ukraine, membunuh kesemua 298 penumpangnya.

*Saluran Astro AWANI akan menyiarkan ucapan penuh Perdana Menteri di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam buletin jam 8 pagi dan ulangannya pada jam 3 dan 5.30 petang.