Mesyuarat berkaitan dengan perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akan diadakan esok.

Mesyuarat tersebut akan disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta beberapa agensi keselamatan lain.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, ia akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

"Esok saya akan bagi sidang media dalam pukul 1 petang mengenai perhimpunan ICERD selepas mesyuarat bersama MKN dengan agensi-agensi luar," katanya ringkas tanpa mendedahkan butiran lanjut mengenai mesyuarat berkenaan.

BACA: ICERD: Himpunan kesyukuran dijamin tiada unsur perkauman - Zahid

BACA: Perhimpunan ICERD hanya di Jalan Raja - DBKL

Difahamkan mesyuarat tersebut akan turut disertai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program High Profile Policing (HPP) di Kepong, hari ini.

Program HPP diadakan setiap minggu atau sebulan sekali dalam usaha polis mendekati masyarakat di samping menjadi satu cara untuk mencegah jenayah dan ia mendapat maklum balas positif daripada orang awam dan pelancong.

Ditanya mengenai cadangan DBKL berhubung memendekkan waktu operasi pusat hiburan di ibu negara Mazlan berkata beliau menyokong cadangan tersebut.

"Saya mengalu-alukanlah sebab lebih mudah kami mengawal pusat hiburan. Saya sokong sepenuhnya untuk tutup pukul 1 pagi," jelas beliau.

Semalam, media melaporkan mengenai cadangan DBKL berhubung memendekkan waktu operasi pusat hiburan akan dikemukakan kepada Kementerian Wilayah dalam masa terdekat.

Datuk Bandar, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata pihaknya akan mengesyorkan supaya premis-premis hiburan di sekitar ibu kota dibenarkan untuk beroperasi sehingga jam satu pagi saja.