Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Perhimpunan malam ini diteruskan, kata Rafizi

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat akan meneruskan perhimpunan Suara Rakyat Suara Keramat yang dijadual berlangsung di Stadium Kelana Jaya malam ini kerana berpendapat ia mengikut semangat Akta Perhimpunan Aman yang tidak memerlukan permit daripada pihak polis.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, perhimpunan itu akan diadakan di tempat persendirian yang telah dipersetujui dengan pengurusan dan pemilik stadium.
Katanya, sebagai mematuhi gesaan Ketua Polis Negara, Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad telah memaklumkan secara rasmi kepada pihak balai berkenaan.

"Saya percaya dengan keikhlasan dan kebijaksanaan pasukan polis di bawah pimpinan Tan Sri Ismail Omar yang menghargai hak rakyat untuk berhimpun, seperti mana yang telah ditunjukkan dalam perhimpunan-perhimpunan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan media.
Laporan Bernama pada Selasa memetik Ismail berkata, perhimpunan malam ini satu perhimpunan haram kerana penganjur tidak membuat sebarang permohonan kepada polis dan polis akan menahan peserta jika perhimpunan itu tetap diadakan.

"Penganjur perlu mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012. Ini kerana tindakan berarak di tempat tertentu tanpa kebenaran bertujuan membangkitkan kemarahan adalah salah di sisi undang-undang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Selasa.

Beliau juga menasihatkan penganjur perhimpunan supaya mematuhi undang-undang selain menggunakan saluran betul dengan meminta kebenaran ketua polis daerah berkenaan.

Akta itu mensyaratkan kepada penganjur perhimpunan untuk memaklumkan kepada pihak polis mengenai perhimpunan itu 10 hari sebelum tarikh perhimpunan.

Pihak polis dalam masa 24 jam selepas menerima makluman itu dikehendaki memaklumkan kepada pihak berkepentingan sekiranya mereka bantahan terhadap penganjuran perhimpunan itu.

Kenyataan Rafizi tidak menyebut bilakah perhimpunan itu dimaklumkan kepada pihak polis.

Perhimpunan itu dianjurkan bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 yang didakwa diselubungi penyelewengan dan penipuan.

Dalam pada itu, beliau mengecam tindakan "anasir penghasut yang cuba menakut-nakutkan rakyat" terutamanya orang Melayu dengan mengaitkan perhimpunan malam ini dengan peristiwa 13 Mei.

Katanya, pesanan ringkas yang merujuk kepada peristiwa 13 Mei itu "jelas berniat jahat."

Kata Rafizi, beliau akan membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat secepat mungkin pihak yang cuba menimbulkan huru hara dan ketakutan dengan memainkan sentimen perkauman melalui edaran pesanan ringkas tersebut.