Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini menggesa Kerajaan Baharu Perikatan Nasional (PN) untuk segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai dakwaan penyelewengan dana Tabung Haji (TH).

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun RCI mengenai TH bukanlah sebahagian daripada janji Kerajaan PN, namun rakyat berhak mendapat penjelasan yang tuntas dan telus mengenai pelbagai tuduhan penyelewengan yang digembar-gemburkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu.

Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Asyraf Wajdi berkata, pelbagai tuduhan penyelewengan yang berlaku dalam TH yang sehingga kini tiada satu pun didakwa ke muka pengadilan.

"Isu jualan lambak ke atas 76.2% ladang-ladang milik TH Plantations yang berkeluasan 101,000 hektar menjadi hanya 24,000 hektar dengan kaedah yang begitu meragukan, juga benar-benar membangkitkan keresahan 9.4 juta pendeposit di kalangan umat Islam.

"Ini tidak termasuk aset-aset lain TH bernilai RM10 bilion yang sudah terjual kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd. Aset-aset ini termasuklah tanah TRX bernilai RM400 juta dan hotel-hotel TH seluruh Malaysia yang selama ini banyak menyumbang kepada perolehan TH," katanya lagi.

Sumber Facebook drasyrafwajdidusuki

Asyraf Wajdi berkata, TH sebelum zaman pemerintahan PH tidak pernah gagal dalam merealisasikan matlamat penubuhannya, bukan sahaja menguruskan segala keperluan urusan dan hal ehwal kebajikan jemaah Haji, tetapi juga menjana ekonomi umat Islam.

Tambahnya lagi, kecemerlangan TH bukan sahaja diiktiraf oleh dunia, malah prestasi kewangan yang memberangsangkan setiap tahun membolehkan pendeposit berkongsi hibah dan bonus setiap tahun secara purata tidak kurang daripada 6.25% setelah ditolak zakat 2.5%.

"Sebab itulah, apabila pelbagai tuduhan penyelewengan, skandal, defisit yang melanda secara tiba-tiba sejurus selepas PH memerintah mencetuskan pelbagai tanda tanya dan polemik berterusan.

"Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia meminta agar Kerajaan PN dapat segera menubuhkan RCI bagi menyiasat segala dakwaan penyelewengan dalam Lembaga Tabung Haji bagi mengembalikan keyakinan pendeposit dan pelabur institusi terulung umat Islam terus terpelihara!," desaknya lagi.