Perincian tentang tarikh pembukaan sekolah akan dibincangkan dalam mesyuarat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Kementerian Pelajaran, pada Selasa (9 Jun).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, beliau akan bermesyuarat dengan Kementerian Pelajaran pada Selasa bagi menentukan tarikh yang sesuai untuk pelaksanaannya.

Walaupun begitu, beliau menjelaskan, pembukaan sekolah pada fasa pertama hanya akan melibatkan pelajar tingkatan lima dan enam sahaja sebelum dibuka kepada semua.

"Jadi kalau tarikh ditetapkan esok, ibu bapa masih mempunyai jangka masa dua minggu untuk membuat persiapan kembali ke sekolah," katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, pada Isnin.

Menjelaskannya, Noor Hisham berkata, dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bukan sahaja sektor ekonomi akan buka sebaliknya sektor-sektor lain termasuk sosial, sukan dan pendidikan juga akan dibuka.

Bagaimanapun katanya, beliau akan membincangkan dengan lebih mendalam mengenai pelaksanaan itu dalam mesyuarat tersebut, pada Selasa.