Kerajaan Sarawak mewajibkan perjalanan di antara Zon Satu yang merangkumi Kuching, Samarahan dan Serian, dan Zon Dua (Sri Aman hingga ke Limbang) perlu mendapat permit polis, berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata langkah itu susulan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) untuk melaksanakan sekatan perjalanan berikutan peningkatan jumlah kes baharu COVID-19 di negeri berkenaan sejak kebelakangan ini.

"Keperluan ini (permit) terpakai untuk syarikat penerbangan, bot ekspres dan perkhidmatan bas antara bahagian yang beroperasi di antara dua zon terbabit.

"Syarikat penerbangan, pengusaha bot dan bas perlu memastikan hanya yang ada permit polis dibenarkan menaiki pengangkutan yang berkenaan dan melakukan perjalanan di antara kedua-dua zon," katanya dalam kenyataan.

Katanya peraturan itu turut terpakai kepada mereka yang akan melakukan perjalanan pada atau selepas 1 Ogos sekalipun tiket dibeli lebih awal sebelum penguatkuasaan peraturan tersebut.

"Agensi kerajaan yang berkaitan termasuk Lembaga Sungai Sarawak, Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis telah diarah memantau pematuhan terhadap arahan yang dikeluarkan oleh SDMC berkaitan sekatan perjalanan yang bertujuan menjaga keselamatan orang ramai dan menyekat penularan pandemik COVID-19," katanya.

Lee berkata kekerapan penerbangan keluar-masuk Sarawak serta penerbangan destinasi dalam negeri bagi tempoh 1 hingga 14 Ogos juga telah dikurangkan sebagai antara langkah untuk mengekang penularan penyakit itu.

Berdasarkan maklumat tambahan yang dilampirkan bersama kenyataan itu, kekerapan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) di antara Kuala Lumpur dan Sibu telah dikurangkan dari tiga kali seminggu kepada sekali seminggu, sementara penerbangan Kuala Lumpur-Bintulu dikurangkan daripada tiga kali kepada dua kali seminggu.

Penerbangan mingguan AirAsia di antara Kuala Lumpur dan Kuching akan dikurangkan daripada 56 kepada 14 penerbangan; Kuching-Bintulu (daripada 21 kepada tujuh penerbangan); Kuching-Miri (daripada 21 kepada tujuh penerbangan); Kuching-Kota Kinabalu (daripada 14 kepada tujuh penerbangan); dan untuk penerbangan antara Kuching dan Johor daripada 14 kepada tujuh penerbangan.

Penerbangan AirAsia di antara Sibu dan Kuala Lumpur pula dikurangkan daripada 21 kepada empat penerbangan; Sibu-Johor Bahru (daripada tujuh kepada empat penerbangan); Bintulu-Kuala Lumpur (daripada 14 kepada tujuh penerbangan); Miri-Kuala Lumpur (daripada 21 kepada tujuh penerbangan); Miri-Kota Kinabalu (daripada 10 kepada lima penerbangan); dan Miri-Johor Bahru daripada tiga kepada dua penerbangan.

-- BERNAMA