Tutup

Perjanjian air: 3 sen? Nak beli nasi lemak pun tak cukup - Tun M

Perjanjian air: 3 sen? Nak beli nasi lemak pun tak cukup - Tun M
Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan nilai penjualan air mentah dari Malaysia ke Singapura sebagai tidak berpatutan. -Gambar hiasan
PUCHONG: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan nilai penjualan air mentah dari Malaysia ke Singapura sebagai tidak berpatutan.

Beliau memberi indikasi bahawa nilai 3 sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah tidak munasabah pada masa kini.

“Air kita jual kepada Singapura masih 3 sen untuk 1,000 gelen. 1,000 gelen dengan nilai 3 sen, nak beli nasi lemak pun tak boleh,” katanya pada Majlis Pelancaran Dasar Komuniti Negara di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut pada sidang media, Dr Mahathir berkata rundingan dengan Singapura akan diketuai oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah bersama wakil kerajaan persekutuan serta kerajaan negeri Johor.
“Kita berpendapat bahawa harga 3 sen untuk 1,000 gelen ditentukan pada 1926. Pada masa itu, 1 sen boleh beli banyak barang, itu yang saya maksudkan. Jadi waktu ini 1 sen tak boleh beli apa; 3 sen pun tak boleh beli apa-apa. Sepatutnya harga sesuatu barang itu mengikut keadaan semasa.

“Jadi kalau kita nak kira harga yang ditentukan pada 1926 masih kekal sehingga tahun 3000, adakah munasabah? Saya rasa tak munasabah. Sampai bila (harga itu kekal)?” katanya.
Pada Julai tahun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata kerajaan Johor akan menjual air mentah kepada Singapura pada nilai yang berpatutan sesuai dengan keadaan semasa.

Nilai tersebut mungkin sama dengan nilai air mentah yang dijual kepada Melaka iaitu 1,000 gelen dengan kadar 50 sen atau kurang.

Nilai baharu itu tidak akan sama dengan nilai jualan sedia ada sekarang kepada Singapura iaitu 3 sen bagi 1,000 gelen air mentah.

Sebelum itu, Dr Mahathir ada menyebut tentang harga semasa jualan air mentah kepada Singapura yang ‘tidak masuk akal’ dan mahu membuat rundingan semula tentang perkara itu.

Mengikut perjanjian air semasa yang berakhir pada tahun 2061, Malaysia membekalkan air mentah kepada Singapura sebanyak 250 juta gelen setiap hari pada kadar 3 sen setiap 1,000 gelen.

Kemudian, Malaysia membeli semula air yang telah dirawat dari republik itu pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.



Tag: Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri, Singapura, Osman Sapian, kadar air mentah, air terawat, perjanjian air



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.