Ibu bapa yang mengahwinkan anak berusia di bawah 18 tahun disifatkan sebagai satu pengkhianatan dan bukan penyelesaian kepada kemiskinan.

Hal ini kerana masih ada ibu bapa yang tergolong dalam kemiskinan, mencari jalan keluar dengan mengahwinkan anak sekaligus tidak lagi dibebani dengan kos.

Juara Pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas (DETIK), Nur Syafiqah Mohd Paris berkata perkahwinan bawah umur tidak dapat menyelesaikan masalah kemiskinan.

“Kemiskinan akan terus berlaku sekiranya kita membenarkan perkahwinan. Pendidikan masih lagi terabai sekiranya kita membenarkan perkahwinan bawah umur dan akhirnya mereka tidak boleh untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Bayangkan apabila kanak-kanak tidak berpendidikan ini berkahwin dan mereka mempunyai anak. Mereka akan meneruskan kitaran ini dan akhirnya kitaran kemiskinan itu tidak boleh diubah,” katanya.


Beliau mengetengahkan isu tersebut sewaktu giliran bersuara dalam acara Debat AWANI edisi Siri Debat Awam IIUM Re:Action-Youth Engaged yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada Rabu.

Acara itu turut menyaksikan rantaian hujah yang meliputi isu “Umur minimum untuk berkahwin di Malaysia perlu diseragamkan kepada 18 tahun” dan diperdebatkan oleh Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin , Pengarah Jabatan Undang-undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia, Wan Rohimi Wan Daud , Juara Pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas (DETIK), Nur Syafiqah Mohd Paris dan Juara IIUM Interschool Debate Championship 2018, Muhammad Naufal Mohamed Hanipa.

Namun, Muhammad Naufal menyangkal hujah Nur Syafiqah dengan menyatakan bahawa penyeragaman umur tidak perlu dilakukan.

Sebaliknya, prosedur operasi standard (SOP) yang lebih jelas dan lebih ketat perlu ditetapkan bagi membenarkan perkahwinan di bawah umur.


“Pembaharuan yang perlu dilakukan adalah menetapkan sebuah SOP yang lebih jelas dan lebih ketat untuk kita membenarkan perkahwinan di bawah umur, dan bukannya kita menyeragamkan had umur untuk umur berkahwin kepada 18 tahun.

“Terdapat dua kelompok masyarakat, satu yang merasakan perkahwinan di bawah umur ini merupakan satu keperluan bagi mereka dan sekelompok lagi yang mungkin suka-suka sahaja untuk berkahwin di bawah umur.

“Andai kata kita menyeragamkan umur minimum untuk berkahwin kepada 18 tahun, kedua-dua golongan sudah tidak boleh untuk berkahwin. Tetapi kalau kita serahkan kepada mahkamah, mahkamah yang akan menentukan siapa yang layak dan siapa yang berhak untuk berkahwin di bawah umur 18 tahun,” jelasnya.