Semua agensi berkaitan diminta memberi kerjasama kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi mendapatkan jaringan data dan statistik yang tepat, terkini dan komprehensif berhubung perkahwinan kanak-kanak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ini kerana pada masa ini, statistik berkaitan perkara itu berada di bawah beberapa agensi yang berbeza seperti di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) serta negeri-negeri.

"Kementerian telah memperolehi statistik kanak-kanak berkahwin bagi Muslim daripada JKSM dan bukan Muslim daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Menyedari bahawa statistik berkaitan kini berada di bawah beberapa agensi yang berbeza seperti KDN dan JKSM, dan juga di negeri-negeri, saya amat berharap semua agensi berkaitan dapat bekerjasama dengan kementerian (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) agar jaringan data dan statistik yang tepat, terkini dan komprehensif dapat diwujudkan," katanya.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Selasa.

Katanya kementerian mempunyai dua data berbeza berkenaan perkahwinan bawah umur iaitu sebanyak 968 berumur 12 hingga 20 tahun manakala data kedua melibatkan 212 orang yang berumur 12 hingga 17 tahun sahaja yang berkahwin dengan orang dewasa.

"Dalam hal ini, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, JKSM dan JPN telah mengambil inisiatif untuk mengkonsolidasikan data perkahwinan dan penceraian untuk kegunaan pada masa akan datang," katanya.

Katanya kementerian juga menyambut baik cadangan yang dikemukakan pelbagai pihak termasuk penetapan had umur minimum bagi perkahwinan dalam semua perundangan kepada 18 tahun, cadangan Rang Undang-undang Had Umur Perkahwinan serta cadangan untuk mengadakan perbincangan bersama Majlis Raja-Raja untuk menyelaraskan umur perkahwinan kanak-kanak di mahkamah sivil dan syariah.

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk memantau perkhidmatan pengasuh yang diiklankan melalui media sosial dan menggesa masyarakat membuat laporan sekiranya wujud perkhidmatan pengasuh yang mencurigakan di laman media sosial.

"Kementerian menyeru orang awam untuk turut melaporkan melalui Talian Kasih 15999 sekiranya wujud perkhidmatan pengasuh yang mencurigakan untuk diambil tindakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Katanya kementeriannya akan memperkasa sistem daftar kanak-kanak sedia ada bagi memastikan sebarang pekerjaan yang melibatkan urusan dengan kanak-kanak termasuk pengasuh, disaring untuk meminimumkan risiko keselamatan kanak-kanak.

Isu berkaitan pengasuh baru-baru ini menjadi perhatian ramai apabila mayat Adam Rayqal Mohd Sufi ditemui di dalam bahagian sejuk beku peti ais di kediaman pengasuhnya pada 3 Julai lalu manakala seorang lagi bayi, Naufal Amsyar Nabil Fikri yang berusia 10 bulan meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dipercayai terjatuh dari buaian di rumah pengasuhnya pada 21 Julai.

-- BERNAMA