Perkara 153 dibentuk untuk perpaduan atau perpecahan kaum?

Zaim Ibrahim
Mei 31, 2018 08:37 MYT
Perkara 153 yang termaktub dalam Perlembagaan Perseketuan bertujuan membentuk perpaduan bukannya perpecahan kaum.
Cadangan Hindraf 2.0 untuk membuka peluang kemasukan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada semua kaum, terutama sekali kaum India yang berpendapatan rendah menjadi perdebatan hebat.
Umum menyedari, UiTM merupakan institusi pendidikan yang diletakkan dibawah Perkara 153 Perlembagaan Malaysia, iaitu satu polisi yang melindungi hak dan kepentingan kaum Bumiputera dalam negara.
Perkara 153 untuk semua kaum, bukan Melayu sahaja
Akan tetapi, Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata, Perkara 153 tidak boleh dilihat sebagai satu kekebalan kepada kaum Melayu semata-mata.
Dasar itu sebenarnya turut melindungi hak anak-anak negeri Sabah dan Sarawak serta menjaga kepentingan sah kaum-kaum lain bagi mengelak jurang yang besar antara kaum Melayu dan bukan Melayu.
Tambah beliau, dasar itu mampu membentuk kesamarataan dan seterusnya mengukuhkan perpaduan antara kaum.
“Orang bukan Melayu tidak perlu bimbang dengan Perkara 153 tetapi baca dan teliti semula sejarah pembentukannya.
“Tujuan perkara ini dibentuk adalah untuk mengukuhkan perpaduan, bukannya perpecahan kaum,” jelas beliau ketika ditemubual Astro AWANI.
Ujar beliau, sistem kuota yang diberikan kepada masyarakat Melayu dalam pendidikan, biasiswa, dan penjawatan awam adalah berikutan majoriti kaum Melayu tidak mampu tidak mampu bersaing dengan kaum lain.
Kepentingan-kepentingan sah komuniti lain
Jelas Dr. Shamrahayu, kepentingan sah untuk komuniti lain ialah kewarganegaraan, perwakilan di Dewan Negara, exco-exco Kerajaan Negeri serta hak-hak sivil yang lain untuk kaum bukan Bumiputera.
“Kita kena sedar kenapa Perkara 153 ini perlu terus dipelihara. Hal ini demikian, perkara ini turut melindungi hak-hak komuniti lain, bukan mengenai perizaban kaum Melayu sahaja,” kata beliau lagi.
Beliau turut menegaskan, perkara ini menjadi faktor utama perpaduan dalam negara malah membawa Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada 1957 dan pembetukan Malaysia pada 1963.
Ketika ditanya mengenai adakah UiTM perlu dibuka untuk kaum bukan Bumiputera, ini jawapan beliau.
“Komuniti-komuniti lain mempunyai kepentingan sah dalam mendapatkan hak pendidikan tetapi orang Melayu mempunyai hak istimewa dalam pendidikan menerusi perkara ini,” jelas beliau.
Menurutnya lagi, jika kaum India atau kaum-kaum lain yang ketinggalan dalam aspek pendidikan atau ekonomi, kerajaan perlu memberikan perhatian kerana hak mereka juga termaktub didalam Perkara 153.
BACA: Persatuan Alumni UiTM bantah tuntutan Hindraf 2.0
BACA: UiTM untuk semua kaum? Ini jawapan Anwar Ibrahim
BACA: PEMANIS bantah tuntutan HINDRAF 2.0
Berbalik tentang isu tuntutan agar UiTM dibuka kepada semua kaum, Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), P Waythamoorthy tampil membuat penjelasan bahawa tuntutan kepada kerajaan Pakatan Harapan itu tiada kena-mengena dengan pihaknya.
Waythamoorthy menerusi sebuah laporan media mendakwa kumpulan Hindraf 2.0 yang membuat tuntutan tersebut adalah berbeza dengan Hindraf, malah dikatakan sebuah organisasi yang 'palsu'.
#Cina #Dewan Negara #Dewan Rakyat #India #Melayu #Perkara 153 #Perlembagaan Perseketuan #perpaduan #UiTM