Kementerian Sumber Manusia bercadang untuk memperluaskan skim perlindungan diri dan keluarga di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meliputi petani, pekebun kecil getah dan golongan nelayan.

Timbalan Menterinya Datuk Mahfuz Omar berkata, sebelum ini beberapa golongan sahaja berpeluang mencarum dalam skim itu termasuk pemandu teksi, grab dan pemandu bas yang akan dikuatkuasakan mulai Julai depan.

"Ini kerana golongan itu berisiko tinggi mendapat kemalangan ketika bekerja," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada Mohd Nor Daud, 64, selepas anaknya Mohamad Izzuddin, 31, mati lemas di Rumah Pam Kemubu di sini pada 11 Jun lepas.

Turut hadir Pengarah Perkeso Kelantan Nora Yaacob.

Mahfuz berkata, pihaknya mahukan golongan-golongan berkenaan mendapat faedah yang sama apabila berlaku kemalangan terutama membabitkan kehilangan nyawa.

Beliau berkata, mereka diberi pilihan yang bersesuaian dengan pendapatan masing-masing membabitkan empat kategori iaitu paling rendah RM13 sehingga paling tinggi RM452 sebulan.

Katanya, jumlah caruman itu bukanlah sesuatu yang membebankan berbanding pelbagai faedah yang mereka bakal perolehi termasuk bantuan tetap bulanan sehingga ke akhir hayat.

Sementara, Mohd Nor Daud berkata, beliau tidak menyangka memperolehi bantuan bulanan sebanyak RM332 sebulan.

Beliau berkata, Mohamad Izzuddin yang bekerja sebagai pemandu lori merupakan anak keempat daripada enam adik beradik yang sepatutnya akan melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihan dari Shah Alam pada November.

-- BERNAMA